fbpx

Euro 2024: Perancis lebih handal ke suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERANCIS mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menang tipis 1-0 ke atas Belgium pada aksi awal pagi semalam. - AFP

DUSSELDORF – Ketua Jurulatih Perancis, Didier Deschamps percaya kunci kemenangan pasukannya yang lolos ke suku akhir saingan Euro 2024 kali ini ketika mengatasi Belgium awal pagi semalam adalah kerana faktor kesabaran.

Pada aksi yang berlangsung di Merkur Spiel Arena itu, Perancis mencatat kemenangan tipis 1-0 selepas pemain pertahanan Belgium, Jan Vertonghen tertampan bola sepakan Randal Kolo Muani ke gawang sendiri.

Deschamps memuji kesungguhan yang dipamerkan oleh para pemainnya yang memberikan sepenuh fokus serta disiplin sepanjang perlawanan tersebut ketika mereka mengakui Belgium merupakan pasukan yang sukar ditentang.

“Kami berjaya bermain dengan baik dan saya fikir pasukan lawan kami terlalu berhati-hati, walaupun di atas kertas mereka dianggap pasukan yang berbahaya dari aspek serangan.

“Mereka adalah pasukan yang bermentaliti menyerang, namun aksi kali ini berbeza apabila mereka lebih banyak bertahan. Kami turun dengan cara biasa, mencari ruang, cuba melakukan percubaan dan mendapatkan jaringan.

“Kami berjaya mencipta lebih banyak peluang berbanding Belgium, namun kami tetap berhati-hati dengan ancaman mereka. Kami lebih selesa menggunakan taktik ‘menunggu’, namun kami waspada dengan ruang yang mampu dimanfaatkan Belgium,” jelasnya.

Biarpun gembira dengan kejayaan Les Bleus menempah slot kelompok lapan pasukan terbaik, Deschamps mengakui masih ada beberapa aspek yang perlu ditambah baik untuk memastikan pasukannya lebih mantap.

“Sudah tentu anda tidak boleh memenangi perlawanan dengan hanya menguasai saingan, tetapi ia lebih baik kerana anda mampu menyusun serangan dan bertahan. Namun, berdasarkan jumlah percubaan, saya fikir itu perkara yang kami perlu beri perhatian.

“Perlawanan kali ini berintensiti tinggi, walaupun satu gol kali ini cukup untuk membawa kami mara ke suku akhir, saya percaya pasukan ini memiliki kemampuan untuk menghasilkan lebih banyak jaringan,” katanya.

Dalam pada itu, pemain pertahanan Perancis, William Saliba mengakui dia dan rakan sepasukannya layak untuk mendapat pujian dengan aksi yang solid dan kompak untuk mengekang asakan Belgium.

“Mungkin banyak pasukan yang tidak sedar betapa sukarnya mereka setiap kali turun menentang kami dan bagaimana kami memberikan mereka kesukaran. Pasukan ini memiliki pengendali yang hebat, pemain yang berkualiti dan semangat yang luar biasa,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI