DUSSELDORF – Pengendali Belgium, Domenico Tedesco mengakui pasukannya berdepan nasib malang selepas jaringan sendiri pemain pertahanan menyaksikan mereka tewas 0-1 berdepan Perancis dan tersingkir daripada saingan Euro 2024.
Pemain pertahanan, Jan Vertonghen tertampan bola rembatan Randal Kolo Muani ke gawang sendiri ketika perlawanan berbaki lima minit untuk diheret ke masa tambahan sekali gus menyaksikan Belgium terus gagal meraih kejuaraan utama sejak lebih sedekad lalu.
“Selepas sejam perlawanan berakhir dan selepas kami bolos pada minit ke-85, sukar untuk saya melakukan analisis mengenai kegagalan kami pada perlawanan kali ini.
“Anda mungkin tidak boleh mengatakan kami sangat bertuah pada kejohanan kali ini sekiranya perlawanan pertama dan cara kami bolis pada aksi kali ini diambil kira,” katanya.
Pada perlawanan tersebut, Belgium dilihat menggunakan taktik bertahan selain mensia-siakan beberapa peluang terbaik untuk menghasilkan jaringan sebelum nasib tidak menyebelahi dengan gol sendiri tersebut.
Bagaimanapun, Tedesco menafikan dakwaan pasukannya layak untuk tersingkir pada saingan kali ini ekoran mempamerkan aksi kurang berani sejak perlawanan peringkat kumpulan lagi.
“Saya fikir kami cukup berani ketika berdepan Slovakia. Anda lihat cara Slovakia menentang England, kami berjaya menekan mereka dan mencipta banyak peluang, begitu juga ketika menentang Romania.
“Ketika terikat tanpa jaringan menentang Ukraine, saya mengaku kami sedikit kurang menyengat. Kali ini menentang Perancis, kami juga mendapat peluang, tetapi gagal melakukan penyudah,” jelasnya.
Sementara itu, Tedesco turut mempertahankan penyerangnya, Romelu Lukaku yang meninggalkan saingan di Jerman tanpa sebarang gol selepas tiga jaringannya di peringkat kumpulan dibatalkan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR).
Dalam pada itu, ketua pasukan, Kevin De Bruyne percaya strategi dan mentaliti pemain berada dalam keadaan baik ketika turun berdepan Perancis kali ini.
“Kami turun dengan pelan dan melakukan dengan baik. Dengan kualiti yang ada pada Perancis, kami sedar sukar untuk menguasai saingan. Kami juga berbahaya dalam beberapa situasi, namun ia sangat mengecewakan apabila bolos dengan cara sebegini. Tetapi, inilah bola sepak,” ujarnya. – AGENSI