MASA depan pemain pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools menjadi tanda tanya selepas kontraknya bersama kelab Thailand, Buriram United berakhir secara rasmi pada 30 Jun lepas.
Berdasarkan data daripada laman web footballtransfers.com, Cools masih memiliki ‘harga’ di pasaran antarabangsa dengan nilai sekitar €200,000 (RM1.01 juta) hingga €300,000 (RM1.5 juta).
Bagaimanapun, memandangkan Cools kini sudah bergelar ejen bebas, mana-mana kelab boleh mendapatkan khidmatnya sekiranya berminat untuk menawarkan kontrak buat pemain berdarah kacukan Belgium-Malaysia itu.
Kali terakhir Cools berhijrah adalah ketika jendela perpindahan Januari tahun lalu selepas menyertai Buriram daripada kelab Republik Czech, Jablonec secara percuma dengan kontrak selama 18 bulan.
Buat masa ini, pemain berusia 28 tahun dilihat sudah pulang ke Belgium dan sedang menjalani cuti musim panas di sekitar Eropah sebelum memikirkan tentang fasa baharu kariernya selepas ini.
Kali terakhir Cools beraksi secara kompetitif adalah ketika membantu Harimau Malaya melakar kemenangan 3-1 ke atas Taiwan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bulan lalu.
Difahamkan beberapa kelab di Belgium berminat untuk mendapatkan khidmat Cools, tetapi masih belum ada sebarang laporan kukuh.
Situasi sama melibatkan kelab Liga Malaysia (Liga M) yang berhasrat untuk membawa Cools pulang berbakti di tanah air, tetapi faktor gaji yang tinggi mungkin menjadi kekangan pasukan untuk mengeluarkan modal besar.
Cools yang mewakili skuad remaja Belgium sebelum ini pernah mewakili beberapa kelab Eropah seperti Brugge dan Midtjylland dengan pengalaman bersaing dalam kancah Liga Juara-Juara (UCL) dan Liga Europa.