fbpx

Da’i Syed tarik balik rayuan terhadap perintah bela diri tuduhan rogol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Shah Iqmal ketika keluar dari Mahkamah Rayuan hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

PUTRAJAYA – Pendakwah selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful hari ini menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membela diri atas tuduhan merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.

Sehubungan itu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama-sama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk S.M. Komathy Suppiah membatalkan rayuan tersebut.

Pada prosiding berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad berpendirian, rayuan yang dikemukakan oleh Syed Shah Iqmal tidak kompeten kerana rayuan itu dikemukakan terhadap perintah yang belum muktamad.

Terdahulu, peguam Johan Radzi yang mewakili pendakwah selebriti itu memaklumkan, anak guamnya menarik balik rayuan berkenaan kerana prosiding bela diri telah didengar di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan selesai pada 20 Jun lalu.

Beliau yang menyebut bagi pihak peguam utama, Syed Amirul Syed Edros berkata, keputusan pada akhir kes pembelaan dijadualkan diumumkan pada Ogos ini.

Sementara itu, semakan laman web mahkamah menyatakan, keputusan sama ada Da’i Syed dibebas dan disabitkan terhadap pertuduhan itu pada akhir kes pembelaan akan diumumkan oleh Hakim Norazlin Othman pada 30 Ogos ini.

Pendakwah selebriti itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkannya membela diri terhadap pertuduhan tersebut selepas membenarkan rayuan pendakwa raya.

Pada 10 April 2023, Hakim Rihaida Rafie melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal, 28, daripada tuduhan itu tanpa memanggilnya membela diri.

Pada 10 Disember 2020, dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 23 tahun dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, kira-kira pukul 1.35 malam pada 11 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan bermula April 2022.

Pada 31 Mei 2022, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya turut melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI