KUALA LUMPUR – Enggan berkompromi terhadap penghibur pro-Israel, penyanyi Aizat Amdan tiada hasrat menonton konsert Bruno Mars yang bakal berlangsung pada 17 September depan.
Begitupun katanya, dia tidak menghakimi orang lain yang ingin menyaksikan persembahan mega tersebut kerana menganggap setiap individu mempunyai pandangan tersendiri mengenai isu Palestin.
“Pilihan orang lain di luar bidang kuasa saya, tetapi bagi saya kita tidak boleh menghakimi kerana masing-masing ada cara dan perjuangan tersendiri.
“Secara peribadi bagi saya dia seorang penyanyi yang hebat, saya suka lagu dia tetapi saya tidak akan ‘menutup mata’ semata-mata mahu pergi ke konsertnya.
“Saya boleh sahaja dengar lagu dia diluar, saya tidak kisah. Ada batasnya sebagai manusia, takkan kita nak ikut sahaja kalau kita tahu dia menyokong Israel,” katanya kepada Kosmo! Online.
Sebelum ini hangat diperdebatkan dalam media sosial berhubung isu boikot terhadap konsert Bruno Mars berikutan dakwaan penyanyi Talking to the Moon itu sebagai penyokong tegar Israel.
Konflik berdarah akibat penjarahan semula rejim Zionis di Palestin yang mengakibatkan ribuan nyawa terkorban sejak Oktober tahun lalu meraih perhatian dunia termasuk selebriti.
Aizat atau nama penuhnya Muhammad Aizat Amdan, 35, berpendapat bahawa tiada keperluan untuk menyokong produk atau mana-mana individu yang terlibat dengan Israel.
“Kalau kita dah tahu produk atau individu itu memberi dana kepada Israel, kita takkan sokong, mudah sahaja.
“Saya tidak akan menyokong mana-mana individu yang berperang dengan orang Islam. Ini adalah untuk muhasabah diri saya sendiri.
“Malah saya juga sentiasa berhati-hati dengan apa yang saya pakai, beli dan saya akan kenal pasti produk tersebut dari negara mana,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Festival Atas Angin di MyTown.
Menerusi pengumuman penganjur Live Nation Malaysia hari ini, sebanyak 85,000 tiket Bruno Mars Live in Kuala Lumpur habis ditempah dalam tempoh singkat.
Biarpun menerima kecaman dan ancaman diboikot, kehadiran penerima 15 trofi Grammy yang bakal beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu tetap meraih sambutan. – KOSMO! ONLINE