NEW DELHI – Seorang wanita terbunuh, manakala lima lagi cedera selepas dirempuh sebuah bas yang dipandu laju di Uttarakhand, India, lapor saluran televisyen NDTV semalam.
Menerusi rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV), bas terbabit kelihatan hilang kawalan sebelum melanggar keenam-enam mangsa.
Rakaman tersebut turut memaparkan tiga wanita lain yang turut berada di laluan bas itu, terselamat daripada dilanggar.
Sebuah skuter yang dipandu dari arah bertentangan pula berjaya melencongkan motosikalnya untuk mengelakkan perlanggaran.
“Kesemua mangsa sedang berada di Jalan Kashipur di Rudrapur sebelum bas itu merempuh mereka dari belakang,” kata pegawai.
Mangsa yang cedera dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan dengan salah seorang daripadanya mengalami cedera parah.
“Kami menerima maklumat berhubung kemalangan itu sekitar pukul 5 petang (waktu tempatan) dan kami telah memulakan siasatan menyeluruh terhadap insiden tersebut.
“Mayat seorang mangsa telah dihantar untuk bedah siasat, manakala pasukan perubatan sedang giat merawat wanita lain yang cedera,” kata Superintendan Kanan Polis, Manjunath TC.
Sementara itu, polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian serta syarikat atau pemilik bas berkenaan.
“Bas itu kelihatan seperti bas sekolah dari dalam video tetapi kami tidak pasti setakat ini. Namun, ia dipercayai adalah bas persendirian,” tambah Manjunath. – AGENSI