PETALING JAYA – Pempengaruh dan penyanyi Cik B menghabiskan lebih RM6,000 semata-mata untuk membeli joran bagi mencuba hobi baru iaitu memancing.
Menerusi satu klip video yang dikongsi di media sosial, Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamilleen dilihat sedang memilih joran di sebuah premis.
Dia yang ditemani adiknya, Kacak dilihat membeli beberapa peralatan memacing, seperti rod, mesin pancing, umpan tiruan, tong pancing serta beberapa peralatan lain.
Berdasarkan klip video tersebut juga, harga keseluruhan semua alatan yang dibeli Cik B itu adalah RM6,600
Bagaimanapun, menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial menganggap kos tersebut terlalu tinggi bagi mereka yang baru berjinak dengan hobi memancing.
“Bagi saya Cik B beli dulu peralatan yang basic (asas) sebagai permulaan, tengok dahulu kesesuaiannya. Sebab Cik B baru nak mula memancing, apa pun saya doakan agar Cik B tak ‘kumpau’,”tulis Umpan Plastik7.
“Barang memang boleh beli Cik B, tapi saya sarankan cari ilmu dahulu kalau nak mula memancing. Memancing bukan hobi main-main ingat tu,”nasihat Angler.
Selain itu, ada juga pengguna yang mendakwa kedai terbabit mengambil kesempatan terhadap Cik B yang juga anak kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Vida.
“Tak bijak kedai ni, orang baru pertama kali terus kapak (ambil kesempatan), bagi set biasa dahululah, dah pandai nanti mesti dia akan repeat (ulang) datang lagi. Ini terus hentam RM6,600, Cik B salah masuk kedai ni,”kata Bakri Mazlan.
“Banned (Boikot) je kedai jenis tahu nak ketuk pelanggan je, sepatutnya dia kena guide (bagi tunjuk ajar) kepada pelanggan baru betul,”ujar Haris Rashid.-KOSMO! ONLINE