KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang membangunkan sebuah aplikasi bagi mengurangkan jumlah hartanah yang tidak terjual dan menamatkan masalah projek perumahan terbengkalai yang dijangka dilancarkan pada 2025.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sistem itu akan menjadi rujukan kepada pemaju bagi mengenalpasti kawasan dan jenis perumahan untuk dibangunkan berdasarkan kajian kebolehlaksaan yang dibuat.
“Dari segi ‘big data’, kerajaan sedang membangunkan sistem seperti ‘super apps’ (aplikasi). Usaha ini akan mengurangkan masalah rumah tidak terjual.
“Saya juga mahu ‘tamatkan’ projek terbengkalai. Melalui data tersebut, pemaju boleh tahu jenis perumahan yang sesuai untuk setiap kawasan sama ada ingin bina rumah teres ataupun kondominium,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pembukaan Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan 2024 (ACMROCH 2024) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Turut diadakan Pameran Bangunan dan Rekaan Dalaman 2024 Malaysia ke-23 (ARCHIDEX 2024) bermula hari ini sehingga 6 Julai melibatkan 700 pempamer tempatan dan antarabangsa merentasi lebih 1,500 reruai pameran, serta 40,000 pelawat dari lebih 100 negara.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, selain menambah baik sektor perumahan, sistem itu juga dapat memudahkan urusan jual beli hartanah dan membantu pembeli membuat keputusan yang lebih tepat.
“Maka siapa nak beli rumah, boleh lihat rekod pemaju dan projek tersebut sama ada pernah (dilanda) banjir termasuk membuat perbandingan harga dan sebagainya.
“Oleh itu, KPKT komited untuk mempunyai polisi berasaskan data. Kita sedang melalui transformasi digital untuk pastikan semua data di bawah satu sistem. Maka, arkitek, pemaju dan pembeli rumah boleh rujuk kepada sistem berkenaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.