KAJANG – Polis mengesahkan menerima laporan berkaitan video tular seorang lelaki memukul haiwan peliharaannya menggunakan tangan dengan bertalu-talu di sebuah kediaman sekitar kawasan Batu 9, Cheras, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan polis tersebut diterima sekitar pukul 12.47 tengah malam.
Jelasnya, laporan itu berhubung satu video tular mengenai kejadian seorang lelaki yang berada di balkoni rumah sedang memukul haiwan peliharaannya dipercayai seekor anjing menggunakan tangan dengan bertalu-talu.
“Kes ini telah diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Naazron meminta masyarakat supaya tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedia ada di negara ini.
“Ia termasuk perbuatan penganiayaan terhadap haiwan atau mana-mana binatang peliharaan, yang mana jika sabit dengan kesalahan boleh dihukum dibawah peruntukan Akta Kebajikan Haiwan 2015,” tegas beliau.
Terdahulu tular video di media sosial memaparkan video seorang lelaki memukul seekor anjing berulang kali tanpa belas kasihan sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai.
Rentetan itu, aktivis haiwan, Shima Aris tampil ke lokasi dan berjaya memujuk lelaki itu menyerahkan anjing baka Husky terbabit untuk dibawa ke lokasi yang lebih selamat.-KOSMO! ONLINE.