PETALING JAYA – Tular di media sosial satu klip video memaparkan seorang wanita menerjah suaminya ketika sedang berdua-duan di dalam sebuah kereta, baru-baru ini.
Menerusi hantaran di TikTok, wanita itu mendakwa, suaminya berlaku curang dengan seorang wanita warga Indonesia yang merupakan rakan sekerja di sebuah kilang.
“Selalu saya tengok orang sahaja, kali ini saya yang kena. Sakit dia makan dalam. Dapat tahu daripada rakan sekerja kilang dia. Rupanya sudah banyak kali keluar bersama cuma tak ada bukti.
“Daripada awal suami kerja, saya dapat rasa perubahan dia ketara sangat. Saya menyesal suruh dia masuk balik bekerja dekat situ,” katanya.
Berdasarkan video lebih seminit itu, wanita itu berjaya ‘menangkap’ perbuatan curang suaminya, namun tidak mendedahkan tarikh dan lokasi.
“Apa semua ini sayang? Kenapa macam ini? Dia curang. Suami saya dia ambil,” ujarnya sambil menangis.
Menerusi rakaman tersebut, wanita yang bersama suaminya itu cuba menjelaskan bahawa pertemuan mereka hanya bertujuan untuk mengambil buah durian.
Sehubungan itu, suaminya kemudian dilihat cuba mengawal keadaan dan memberitahu dia sudah tidak mempunyai hati kepada isterinya.
“Jangan dekat sini. Sudah lah. Aku dah tak nak kau dah. Pergi balik lah,” kata lelaki itu kepada isterinya.
Pada masa sama, wanita tersebut mendakwa, suaminya juga sering mengabaikan anak mereka selepas kehadiran orang ketiga.
“Saya bersyukur Allah tunjukkan juga. Patut selama ini, dia mesti menjauhkan diri daripada saya sampai anak pun jarang jumpa dengan dia.
“Tapi kalau dia menyeksa jiwa dan hati, memang (saya) tak terima dan akhirnya berpisah jua. Semoga saya dapat keadilan di mahkamah.
“Doakan saya. Terima kasih kerana jadikan saya isteri awak selama tiga tahun yang sia-sia,” jelasnya.
Sehubungan itu, rata-rata bersimpati dengan nasib malang yang menimpa wanita berkenaan dan mendoakan agar urusannya dipermudahkan.
“Jangan bazir air mata kak, tuntut harta dekat dia sampai dia ternganga. jantan tak guna macam ini kena ajar baru sedar diri,” kata Zeyn.
“Kadang sedih bukan sebab apa, sebab kita setia tapi dibalas kecurangan. Semoga urusan mahkamah akak dipermudahkan,” ujar Emma. – KOSMO! ONLINE.