fbpx

Agihan harta RM2 bilion Allahyarham Jamaludin Jarjis tidak didedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aminah (berkerusi roda) dan Kalsom (lima dari kanan) bersama barisan peguam syarie ketika hadir di Mahkamah Tinggi Syariah hari ini.

KUALA LUMPUR – Selepas enam tahun, kes tuntutan harta RM2 bilion yang difailkan balu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail terhadap empat anak dan ibu mentuanya berakhir apabila kes itu diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Perkara itu dimaklumkan peguam syarie Nur Hidayah A Bakar, yang mewakili ibu Jamaludin, Aminah Abdullah selepas prosiding kes itu yang dijalankan secara tertutup di hadapan Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz.

Menurut Nur Hidayah dengan penyelesaian itu, tiada perbicaraan selain pihak-pihak tidak perlu lagi datang ke mahkamah.

“Alhamdulilah, hari ini pihak-pihak telah berjumpa untuk kami bermesyuarat lebih kurang tiga jam pada pagi ini dan semua telah mencapai kata sepakat bagi penyelesaian kes dan hari ini juga telah pun direkodkan.

“Semalam telah berjalan perbicaraan untuk keterangan pihak plaintif, namun, setelah pihak-pihak berbincang ia telah mencapai kata sepakat untuk mengadakan perbincangan semua pihak hari ini. Alhamdulilah… hari ini telah selesai. Bagaimanapun terma, jumlah atau apa sahaja berkaitan harta itu tidak boleh didedahkan,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai lokasi perbincangan sebelum penyelesaian, Nur Hidayah berkata pihak-pihak banyak menjalankan perbincangan di rumah dan juga di pejabat peguam.

Dalam prosiding hari ini, Kalsom diwakili peguam Syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Kalsom, 68, selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Makkah serta beberapa buah syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla dan ibu mentuanya Aminah sebagai defendan.

Pada 28 Ogos tahun lalu, mahkamah itu membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang dalam pernyataan tuntutan.

Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan Jamaludin semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Gombak dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada pukul 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

Pada prosiding September tahun lalu, tuntutan tersebut gagal menemui penyelesaian dan diteruskan dengan perbicaraan yang mana prosiding itu akan didengar di hadapan hakim syarie sama.

Ini kerana pihak-pihak terlibat gagal mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI