fbpx

2021-2023 era dunia paling ganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyokong tentera pemberontak Sudan mengangkat senjata ketika berkumpul di Gedaref pada 3 Mac lalu. – AFP

OSLO – Analisis baharu konflik global mendapati dunia menjadi semakin ganas, manakala tempoh tiga tahun lalu adalah era paling huru-hara dalam tempoh tiga dekad, lapor akhbar Arab News kelmarin.

Kajian bertajuk Conflict trends: A global overview itu diterbitkan oleh kumpulan pemikir antarabangsa, Institut Penyelidikan Keamanan Oslo (PRIO). Ia mendedahkan bahawa konflik atau perang berasaskan negara mencatatkan rekod tertinggi sejak 1946.

Tahun 2023 sahaja menyaksikan 59 konflik yang belum pernah berlaku sebelum ini, muncul di seluruh dunia sekali gus menjadikannya sebagai salah satu tahun paling ganas sejak Perang Dunia Kedua berakhir.

Penyelidik di PRIO dan penulis utama laporan itu, Siri Aas Rustad berkata, penemuan mereka menunjukkan landskap konflik menjadi lebih kompleks dengan lebih ramai pemain terlibat dalam setiap negara yang dilanda krisis.

Memeriksa jumlah keseluruhan korban antara tahun 2021 hingga 2023, Program Data Konflik Uppsala merekodkan sekitar 600,000 kematian akibat pertempuran. Ia sangat berbeza berbanding tempoh tiga tahun sebelumnya (2018-2020) yang mencatatkan kira-kira 180,000 kematian.

“Tiga dekad sebelumnya (1990-2020) menyaksikan seramai 1.5 juta orang terbunuh,” kata Rustad. Ini bermakna lebih 25 peratus daripada semua kematian akibat perang yang dilaporkan dalam tempoh 33 tahun lalu berlaku antara 2021 hingga 2023.

Malah, hampir separuh daripada negara yang mengalami konflik pada 2023 terlibat dalam lebih daripada satu konflik berterusan, manakala tujuh negara secara serentak terlibat dalam lebih daripada tiga konflik.

“Dengan mengambil kira angka ini, di samping jumlah perang saudara antarabangsa yang tinggi dan konflik ganas yang agak tinggi, kami melihat bahawa landskap konflik di seluruh dunia menjadi lebih rumit.

“Ini sukar untuk dikendalikan oleh negara terlibat serta organisasi se­perti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Bank Dunia dan Kesatuan Eropah (EU),” kata Rustad.

Laporan tersebut mendokumentasikan kira-kira 190 konflik berasaskan negara berbeza yang melibatkan 95 negara sejak tahun 1990.

Konflik atau perang paling berdarah yang diketengahkan oleh Rustad baru-baru ini termasuk perang Tigray di Ethiopia dan keganasan di Syria, dengan jumlah kematian dianggarkan melebihi 300,000 orang.

Konflik di Afghanistan pula dipercayai telah menyebabkan lebih 230,000 kematian, manakala perang antara Russia dan Ukraine dianggarkan meragut kira-kira 170,000 nyawa setakat ini.

Sementara itu, Profesor Emeritus Sains Politik di Universiti Kaherah, Nasr Arif menyifatkan konflik Palestin yang berterusan sebagai antara yang paling membawa maut dalam tempoh tiga tahun lalu.

Hampir 40,000 orang terbunuh, 90,000 cedera dan 15,000 masih hilang serta dianggap telah mati kerana tertimbus di bawah runtuhan bangunan, demikian menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.

“Konflik yang berterusan akan mengembalikan seluruh Palestin kepada situasi sebelum 1977, di mana masyarakat dunia Arab atau Islam sangsi terhadap perjanjian damai dengan Israel,” katanya.

Tambah Nasr, secara keseluruhannya, beliau percaya bahawa politik identiti dan campur tangan asing menjadi punca konflik yang melanda rantau Afrika, Asia dan Eropah.

“Konflik ini sering dicetuskan dan diapi-apikan oleh kuasa antarabangsa, sama ada dari rantau sama atau jauh.

“Politik identiti sama ada etnik, agama atau politik, memainkan peranan penting dengan campur tangan antarabangsa menyokong pihak-pihak yang bertelagah. Ia seterusnya membawa kepada korban lebih tinggi,” jelasnya.

Nasr memetik sebagai contoh, penglibatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah dalam konflik Ukraine-Russia, serta campur tangan kuasa luar dalam hal ehwal Sudan, Iraq serta Lebanon.

Beliau turut menyalahkan sokongan pihak asing yang mendorong Israel bertindak di luar batasan sehingga menyebabkan jumlah korban penduduk Pales­tin yang begitu tinggi dalam perang Gaza. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI