KUALA TERENGGANU – Seorang tukang rumah yang juga penagih berulang dihukum penjara lima tahun atas dua kesalahan menyalahgunakan bahan terlarang itu oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Nazlyza Mohamad Nazri memutuskan demikian selepas tertuduh, Suhaimi Muda, 50, membuat pengakuan bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan.
Tertuduh sebelum ini memiliki dua rekod kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 2019.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Suhaimi didakwa memasukkan dadah amphetamine dan methamphetamine ke dalam badannya.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu pada 8 November 2020 dan 17 Mei 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39C(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan maksimum tiga sebatan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan dan diarahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 5 Februari lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Iffah Nabihah Mohd. Ishak, manakala tertuduh pula diwakili peguam, Che Muhammad Amir Syafiq Che Musa. – KOSMO! ONLINE