IPOH – Mayat lelaki warga emas dengan kesan kecederaan di leher ditemui terbaring dalam keadaan mengiring di sebuah bangunan persendirian dekat Bercham, di sini hari ini.
Mangsa, Yep Nam Meng, 81, dijumpai oleh pengawal keselamatan di koridor tingkat bawah premis itu sekitar pukul 2 petang yang kemudian menghubungi ambulans untuk bantuan.
Pemeriksaan oleh petugas kesihatan mendapati mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Difahamkan, mangsa yang mempunyai dua anak itu tinggal di premis berkenaan dan bekerja sebagai tukang cuci di sana sejak 10 tahun lalu.
Mayat dengan kesan darah itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kes penemuan mayat itu.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE