fbpx

Tidak semua syarikat e-hailing punya kriteria pemilihan pemandu yang ketat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Terdapat firma e-hailing didapati menggunakan pemandu yang tidak memenuhi syarat ditetapkan kerajaan. - Gambar hiasan

PETALING JAYA – Tiada keseragaman dalam kriteria pemilihan pemandu oleh syarikat penyedia servis e-hailing buat masa ini, yang berisiko menjejaskan keselamatan penumpang dan kualiti perkhidmatan.

Menurut Ketua Aktivis Perikatan e-Hailing Malaysia, Jose Rizal, hanya Grab yang diketahui menjalankan pemeriksaan latar belakang sebagai sebahagian daripada proses pemilihan pemandu.

Katanya, terdapat kes di mana pemain baharu dalam pasaran e-hailing telah meluluskan hampir semua pemohon sebagai pemandu bagi platform mereka, tanpa mengambil kira sama ada mereka mempunyai Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) atau tidak.

“Grab melakukan pemeriksaan latar belakang kerana mereka telah berada dalam industri untuk sekian lama dan sebagai peneraju pasaran, mungkin lebih mudah bagi mereka untuk mematuhi standard yang tinggi.

“Sesetengah syarikat lain ini mengambil pemandu walaupun mereka tidak mematuhi peraturan yang diperlukan,” ujar Rizal kepada portal berita Scoop, baru-baru ini.

Tanpa proses pemilihan pemandu yang betul, timbul pelbagai isu kerana penumpang mungkin tidak berhak untuk meminta bantuan daripada syarikat e-hailing sekiranya berlakunya sebarang masalah yang disebabkan oleh pemandu.

Jose Rizal

Rizal menjelaskan, di bawah undang-undang ketika ini, pemandu secara teknikalnya bukanlah kakitangan kepada syarikat e-hailing, bermakna syarikat penyedia perkhidmatan tidak memegang sebarang liabiliti untuk pemandu mereka.

Pandangan itu disokong Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia, Mohd. Azril Ahmat yang menyatakan syarikat e-hailing seharusnya memastikan proses pemilihan pemandu yang betul, kerana penyedia perkhidmatan akhirnya perlu bertanggungjawab atas pengguna mereka.

Sekiranya tidak ada kriteria pemilihan pemandu yang ketat, Azril berkata, wajar bagi penyedia perkhidmatan untuk menyediakan protokol keselamatan yang baik untuk penumpang.

Ini termasuk tidak memberitahu pemandu tentang aduan penumpang semasa masih dalam perjalanan, ujarnya yang mengulas laporan terbaru mengenai penumpang wanita yang diserang secara fizikal oleh pemandu e-hailing.

Pemandu terlibat dimaklumkan mengenai aduan mangsa ketika wanita itu masih berada di dalam kenderaan.

“Tidak perlu segera memaklumkan kepada pemandu, kerana platform lain hanya akan memaklumkan aduan terhadap mereka setelah perjalanan selesai.

Mohd. Azril

“Ini kerana walau apa sahaja yang berlaku dan diperkatakan, anda perlu bertanggungjawab terhadap mereka yang menggunakan platform anda,” katanya.

Platform perkhidmatan e-hailing, InDrive baru-baru ini dilaporkan telah mengambil tindakan terhadap salah seorang pemandunya berikutan insiden serangan didakwa melibatkan seorang penumpang wanita yang tersebar di media sosial.

InDrive dalam satu kenyataan berkata, pemandu terlibat telah diharamkan secara kekal di platformnya.

“Di InDrive, kami mempunyai dasar sifar toleransi kepada salah laku pemandu. Pemandu yang didapati bersalah atas tindakan sedemikian akan diharamkan secara kekal pada platform kami, dan kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI