fbpx

Suami, isteri dilarang bersetuju hidup child-free, putuskan keturunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Isu child-free masih hangat diperkatakan sehingga kini yang merujuk kepada pasangan berkahwin memilih untuk bebas anak atau tidak mempunyai keinginan langsung memiliki zuriat.

Trend itu dikatakan semakin popular dalam kalangan pasangan muda dengan alasan mereka enggan dibebani komitmen membesarkan anak disebabkan faktor tidak bersedia, kekangan kewangan, kesibukan bekerja dan lain-lain.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tindakan sedemikian secara jelas telah menyebabkan terputusnya keturunan.

“Tindakan menghindari kelahiran anak adalah suatu tindakan yang memutuskan silsilah keturunan dan bertentangan dengan fitrah manusia yang telah diciptakan oleh Allah serta syariat Islam yang telah diredai oleh Allah untuk hamba-hamba-Nya.

“Suami dan isteri tidak dibenarkan untuk bersetuju bagi tidak mempunyai anak sama sekali.

“Walau bagaimanapun, penangguhan sementara dalam memiliki anak boleh dibenarkan jika pasangan melihat adanya manfaat, sebagaimana yang telah difatwakan oleh Majma’ Figh al-Islami,” katanya menerusi penulisan yang diterbitkan di portal Maktabah Al-Bakri.

Tambah beliau, larangan buat pasangan yang berkahwin dengan niat untuk tidak menginginkan zuriat adalah bertentangan dengan tujuan asal perkahwinan dalam Islam.

“Menjaga keturunan adalah termasuk dalam konsep maqasid syariah yang penting, yang mana antara tujuannya ialah memelihara keturunan dan memastikan kesinambungan umat manusia.

“Justeru, setiap individu dan pasangan harus melakukan pertimbangan yang mendalam dan memahami implikasi yang mungkin muncul dari keputusan untuk menjalani kehidupan tanpa anak, sambil memahami kepentingan dan tujuan asal bagi sesebuah perkahwinan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr. Zulkifli menjelaskan terdapat dua keadaan yang berbeza mengenai hukum pasangan berkahwin mengelak daripada memiliki anak.

“Pertamanya, disebabkan oleh faktor-faktor kesihatan dan keadaan biologi yang tidak mengizinkan, maka dalam keadaan ini ia tidak mengapa dan tidak dianggap berdosa. Ini kerana hal atau keadaan itu berada di luar daripada kawalan suami isteri terbabit.

“Keduanya, memilih untuk tidak memiliki zuriat selama-lamanya, sedangkan mereka atau salah seorangnya tidak mempunyai masalah kesihatan dan mereka melakukan prosedur perubatan bagi menghilangkan kemampuan reproduksi secara kekal dan menggugurkan kandungan tanpa sebab, maka ia adalah haram dan dilarang.

“Ini jelas sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj (8/241), fatwa Syeikh Atiyyah Saqr dalam Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (47/10) dan resolusi yang diputuskan oleh Majma’ al-Figh al-Islami melalui persidangan mereka bertarikh 1-6 Jumadil Akhir 1409 Hijrah,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! menerusi laporan khas melaporkan sejak pandemik Co­vid-19, ada pasangan di negara ini yang berkahwin, namun memilih untuk tidak memiliki anak atau child-free terutama melibatkan golongan muda.

Pakar Motivasi dan Kaunseling Rumah Tangga, Hushim Salleh berkata, situasi itu menyebabkan ada pasangan yang mendirikan rumah tangga berkira-kira untuk memiliki cahaya mata kerana perlu menyediakan peruntukan besar sehingga RM400,000 seorang bagi membesarkan zuriat masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI