fbpx

Seludup dadah dari luar negara guna kurier

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kotak mengandungi dadah jenis ekstasi, MDMA dan ketamin dianggarkan bernilai RM156,000 yang dirampas selepas tidak dituntut oleh penerima di syarikat penghantaran yang beralamat di Eastwood Industrial Estate, Miri.

MIRI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menyita satu bungkusan mengandungi dadah dianggarkan bernilai RM156,000 selepas pemilik barangan tersebut tidak datang untuk membuat tuntutan ke atas kiriman yang dihantar dari luar negara itu.

Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya berkata, pada 19 Jun lalu kira-kira pukul 10.45 pagi, hasil maklumat daripada Cawangan Risikan Zon Sarawak, sepasukan anggota daripada Unit Narkotik Kastam Stesen Miri telah membuat pemeriksaan di Kargo Udara Miri, Jalan Airport di sini.

Katanya, hasil pemeriksaan menjumpai sebuah kotak kiriman dari luar negara disyaki mengandungi dadah.

“Hasil pemeriksaan ke atas kandungan kotak tersebut membawa kepada penemuan tiga plastik yang mengandungi dadah jenis pil ekstasi dianggar seberat 315 gram, serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dianggar seberat 501 gram dan ketamin dianggar seberat 100 gram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norizan menambah, berdasarkan nota penghantaran pada bungkusan berkenaan, pasukan penguat kuasa JKDM Sarawak juga telah menjalankan proses kawalan penghantaran kotak tersebut ke alamat penerima namun mendapati alamat yang digunakan adalah palsu.

Selain itu, katanya nombor telefon bimbit penerima yang didaftarkan juga didapati tidak ada dalam perkhidmatan.

“Modus operandi sindiket adalah menggunakan perkhidmatan kurier dari luar negara yang dihantar ke alamat palsu serta menggunakan nombor telefon bimbit yang tiada dalam perkhidmatan bagi tujuan mengelirukan pihak berkuasa,” katanya.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya hukuman diberikan oleh mahkamah adalah hukuman penjara seumur hidup, pesalah hendaklah juga disebat tidak kurang dari 15 sebatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI