PASIR MAS – Gara-gara terlupa menutup api gas di dapur semasa memasak air gula, sebuah keluarga di Kampung Chandan di sini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka terbakar hari ini.
Dalam kejadian pukul 11.10 pagi itu, Tuan Normala Tuan Mat, 38, tiada di rumah kerana membawa anaknya ke Klinik Sungai Keladi di sini untuk mendapatkan rawatan.
Tuan Normala berkata, kejadian itu diketahui selepas dia menerima panggilan daripada ibu saudara yang memaklumkan rumahnya terbakar.
“Terkejut dengan berita tersebut saya terus menghubungi pihak bomba. Saya terus bergegas pulang dan hanya mampu melihat rumah terbakar kerana api marak dengan pantas.
“Sebelum membawa anak kedua dan bongsu ke klinik, saya sempat memasak air gula di atas dapur gas. Tetapi, saya lupa untuk menutup api,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Mohd. Azmi Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.15 pagi sebelum 16 pegawai dan anggota dari Balai Bomba Pasir Mas dan Tanah Merah ke lokasi kejadian.
Katanya, kebakaran itu menyebabkan rumah terbakar 80 peratus.
“Punca kebakaran dan kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE