PETALING JAYA – Tular di media sosial lampu isyarat di beberapa lokasi sekitar negeri Kelantan memaparkan doa buat rakyat Palestin untuk dibaca beramai-ramai oleh pengguna jalan raya sambil menunggu giliran perjalanan.
Menerusi perkongsian oleh akuan Facebook @Peangpen Kongdee kelmarin, sewaktu lampu isyarat bertukar merah, terdapat beberapa perkataan seperti dipamerkan di skrin yang dipasang pada tiang lampu isyarat.
“Stop (berhenti). Ya Allah, selamatkanlah bumi Palestin #Palestinmerdeka,” tulisnya.
Doa tersebut diulang tayang sebanyak tiga kali sementara menunggu lampu isyarat bertukar hijau.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang memuji usaha kerajaan negeri Kelantan dalam membawa soladiriti terhadap kekejaman yang masih berlaku di bumi Palestin.
Alhamdulillah. Siapa-siapa yang berhenti dekat lampu isyarat ini, sama seperti orang yang mendoakan untuk Palestine ketika melihat (baca dlm hati) atau membaca terus khasnya untuk dimaklumkan kepada anak-anak kecil. Allahuakhbar,” kata Norlida Alwi.
“Kalau lampu baru merah dia akan keluar macam ini. Kalau dekat-dekat nak hijau akan keluar Subhanallah, Allahuakhbar. Itu kena bersedia sebab lampu nak tukar ke hijau,” kongsi Farah Zahirah.
“Sebelum ini pergi Kelantan, memang ada macam ini dekat simpang lampu isyarat. Terbaik kerajaan negeri. Sebtiasa ingatkan kami semua tentang saudara kita di Palestin,” kata Norhim. – KOSMO! ONLINE