fbpx

Rasuah projek lebuh raya: Dua lagi termasuk Datuk direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek ditahan reman selepas perintah itu dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Dua individu termasuk seorang bergelar Datuk sebuah syarikat sub kontraktor direman bagi membantu siasatan kes rasuah projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1 bilion hari ini.

Suspek yang merupakan pengerusi syarikat bergelar Datuk itu direman selama lima hari sehingga 6 Julai ini, manakala pengarah syarikat pula direman tiga hari sehingga 4 Julai ini.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki itu berusia lingkungan 40-an hingga 50-an ditahan antara pukul 9 hingga 12 tengah malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kedua-dua suspek disyaki telah memberi rasuah lebih RM200,000 kepada pegawai-pegawai badan berkanun sebagai balasan bagi mendapat kerja-kerja projek pembinaan lebuh raya yang sebelum ini dijalankan satu syarikat lain.

“Mereka juga dipercayai turut memberi rasuah kepada pegawai-pegawai di sebuah syarikat konsesi lebuh raya untuk tujuan yang sama,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau turut mengesahkan kesemua suspek yang ditahan reman sebelum ini telah dilepaskan selepas tamat tempoh reman termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat konsesi lebuh raya pada Isnin dengan jaminan RM150,000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI