fbpx

Plus, Petronas Dagangan bangun stesen hibrid komersial pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Airina (depan, kiri), bertukar dokumen bersama Azrul Osman Rani untuk menjalin kerjasama membangunkan Stesen Super Hibrid pertama di lebuh raya Malaysia.

PETALING JAYA – Plus Malaysia Berhad (Plus) menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Petronas Dagangan Berhad untuk bekerjasama membangunkan stesen hibrid komersial yang pertama di lebuh raya Malaysia.

Stesen tersebut bakal menyediakan perkhidmatan mobiliti menyeluruh seperti stesen petrol dan diesel berskala besar, termasuk stesen pengecasan pantas untuk pengguna kenderaan elektrik (EV).

Selain itu, ia turut menyediakan kemudahan-kemudahan awam yang lebih selesa, perkhidmatan runcit serta ruang makanan seperti gerai makan, kafe dan restoran.

Lembah Klang telah dikenalpasti sebagai lokasi perintis untuk pembangunan fasiliti hibrid ini. Dengan keluasan lebih daripada 30,000 kaki persegi, ia turut memberi penekanan terhadap kelestarian menerusi reka bentuk bangunan cekap tenaga hingga penyertaan ruang hijau dan sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

Pengarah Urusan Plus, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, sebagai pengendali lebuh raya utama di Malaysia, pihaknya komited untuk menghubungkan komuniti bagi mencorakkan masa hadapan yang selamat dan lestari.

“Pembangunan Stesen Super Hibrid ini akan memacu pelaksanaan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon negara.

“Selain itu, ia juga dapat memperluaskan kemudahan perkhidmatan mobiliti kami bagi menambahbaik pengalaman pengguna lebuh raya, di samping memberi peluang kepada mereka untuk menikmati amalan kelestarian sepanjang perjalanan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan, Azrul Osman Rani berkata, setiap titik sentuh Stesen Super Hibrid ini akan direka bentuk dengan mengambil kira trend serta keperluan pelanggan.

“Kami yakin kolaborasi antara Petronas Dagangan dan Plus akan meningkatkan keselesaan, kemudahan dan inovasi berfokuskan pelanggan, yang akan mengubah pengalaman pelanggan di lebuh raya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI