fbpx

Penyamun rumah pemain Selangor FC dicekup selepas kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein (kanan) menunjukkan barangan yang dirampas daripada dua suspek yang terlibat pecah masuk rumah pemain Selangor FC. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

SHAH ALAM – Kelicikan dua penjenayah yang memecah masuk rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee berakhir selepas ditangkap di Kilometer 23 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, Marang. Terengganu, baru-baru ini.

Penahanan kedua-dua suspek berusia 28 dan 33 tahun tersebut dilakukan pada 26 Jun selepas terlibat dalam kemalangan di lokasi tersebut.

Sewaktu ditahan, mereka menaiki kereta jenis Honda City yang dilaporkan hilang di Klang Utara sebelum ini manakala kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang digunakan semasa kejadian pecah rumah pemain itu ditinggalkan di tepi jalan sekitar Terengganu selepas rosak.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejayaan itu hasil kerjasama Unit Risikan Operasi/ Rekod Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Terengganu dan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam yang sedang menjejaki kedua-dua suspek tersebut.

Katanya, siasatan mendapati dua suspek tersebut bergerak aktif sejak setahun lalu dengan melakukan aktiviti pecah rumah, mencuri kenderaan dan menyamun.

Salah seorang daripada suspek dipercayai mempunyai pengalaman dalam bidang kimpalan.

“Hasil siasatan kemudiannya menunjukkan mereka melakukan sembilan jenayah di empat buah negeri dalam tempoh tersebut.

“Ini melibatkan tiga kes di Terengganu dan masing-masing dua kes di Selangor, Pahang dan Melaka,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, hasil penahanan tersebut turut membawa kepada rampasan pelbagai barangan termasuk ‘cover set’ motosikal jenis Yamaha Y15 pemain Selangor tersebut dan peralatan pecah rumah yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM55,000.

Hussein menambah, ujian air kencing turut mendapat kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Hasil penangkapan kedua-dua suspek ini berjaya menyelesaikan sembilan kes setakat ini di empat buah negeri termasuk di Selangor.

“Kita juga ingin menegaskan mereka ini tidak terlibat atau mempunyai kaitan dengan kejadian lain melibatkan kes pemain bola sepak sebelum ini. Sebaliknya, hanya satu kebetulan suspek tersebut memilih rumah pemain tersebut,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan rumah Ahmad Khuzaimi di sekitar Shah Alam dipecah masuk dua lelaki yang menggunakan MPV jenis Toyota Estima.

Kejadian itu disedari mangsa berusia 31 tahun kira-kira pukul 9 malam dengan mengalami kerugian sebanyak RM15,000 selepas motosikal jenis Yamaha Y15R dan empat beg berjenama dilarikan suspek. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI