fbpx

Penumpang British Airways saman kerajaan Britain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah pesawat British Airways Airbus A391-131 mendarat di Lapangan Terbang Heathrow, London pada 29 April lalu. – AFP

LONDON – Penumpang dan kru sebuah pesawat British Airways yang dijadikan tebusan di Kuwait dalam insiden pada tahun 1990, melancarkan tindakan saman ke atas kerajaan Britain dan syarikat penerbangan ber­kenaan, lapor akhbar Arab News kelmarin.

Penumpang penerbangan BA149 itu dijadualkan terbang ke Kuala Lumpur selepas mendarat di negara Teluk itu pada 2 Ogos tahun yang sama. Insiden berlaku beberapa jam selepas pemimpin Iraq ketika itu, Saddam Hussein menceroboh Kuwait.

Sebahagian daripada 367 penumpang dan anak kapal BA149 ditahan selama lebih empat bulan termasuk digunakan sebagai perisai manusia bagi menangkis serangan Barat ke atas Saddam semasa perang Teluk pertama.

Firma guaman McCue Jury & Partners berkata, 94 daripada mereka telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di London. Mereka menuduh kerajaan Britain dan British Airways sengaja membahayakan nyawa orang awam.

“Semua pihak yang membuat tuntutan mengalami kecede­raan fizikal dan tekanan mental yang teruk akibat pengalaman pahit mereka. Trauma mereka masih dirasai hingga ke hari ini,” tambah firma guaman itu.

Saman tersebut turut mendakwa bahawa kerajaan Britain dan British Airways sedia maklum bahawa pencerobohan telah bermula, namun tetap membenarkan penerbangan itu mendarat di Kuwait.

Mereka berbuat demikian kerana penerbangan itu didakwa digunakan untuk memboleh­kan pasukan operasi khas menyelinap masuk ke negara yang diceroboh itu, demikian menurut McCue Jury & Partners.

“Kami tidak dilayan sebagai warganegara tetapi sebagai objek gadaian yang boleh digunakan demi keuntungan komersial dan politik,” kata salah seorang mangsa, Barry Manners.

“Kemenangan (di mahkamah) selepas bertahun-tahun insiden ini dirahsiakan dan disusuli penafian oleh kerajaan, akan membantu memulihkan kepercayaan rakyat dalam proses politik dan kehakiman kita (Britain),” tambahnya.

Beberapa fail kerajaan Britain yang dikeluarkan pada November 2021 mendedahkan bahawa duta negara itu ke Kuwait telah memaklumkan London tentang pencerobohan Iraq sebelum penerbangan tersebut mendarat di Kuwait.

Bagaimanapun, mesej itu tidak disampaikan kepada ­British Airways.

Terdapat juga dakwaan lain yang dinafikan oleh kerajaan bahawa London secara sedar merisikokan nyawa penumpang dengan menggunakan penerbangan itu untuk mengerahkan anggota komando yang me­nyamar.

London juga dituduh sengaja menangguhkan waktu berlepas untuk membolehkan mereka menaiki pesawat sama.

Kerajaan Britain enggan mengulas mengenai saman tersebut, manakala British Airways sentiasa menafikan tuduhan kecuaian, konspirasi dan penyamaran.

Syarikat penerbangan itu juga tidak menjawab komen agensi berita AFP tetapi berkata pada tahun lalu bahawa rekod yang dikeluarkan pada 2021 mengesahkan British Airways tidak diberi amaran mengenai pencerobohan Kuwait.

McCue Jury & Partners mengumumkan pada September tahun lalu mengenai hasratnya untuk memfailkan saman itu, dengan mengatakan bahawa mangsa boleh menuntut sebanyak £170,000 (RM1 juta) setiap seorang sebagai ganti rugi.

Pada 2003, sebuah mahkamah Perancis memerintahkan British Airways untuk membayar sebanyak £1.4 juta (RM8.35 juta) kepada tebusan negara berkenaan yang berada dalam penerbangan itu.

Menurut mahkamah, syarikat penerbangan itu secara serius gagal dalam kewajipannya kepada penumpang dengan mendaratkan pesawat BA149. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI