fbpx

JPJ kesan pemandu bas tiada lesen bawa penumpang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandu bas yang ditahan kerana tidak mempunyai lesen ketika operasi bersepadu di Gombak hari ini.

GOMBAK – Seorang pemandu bas dikesan tidak mempunyai lesen malah lebih membahayakan lagi kerana pemandu dikatakan dalam perjalanan membawa penumpang dari ibu negara menghala ke Kuantan, Pahang.

Disebabkan hal itu, penguat kuasa terpaksa menyita sementara kenderaan terbabit dan menunggu pemandu ganti berlesen di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Gombak, di sini, sejak pukul 7.30 pagi tadi.

Menurut pemandu warga tempatan berusia 36 tahun itu, dia terpaksa menggantikan abangnya yang mengalami masalah kesihatan untuk menghantar penumpang dari Kuala Lumpur menghala Kuantan, Pahang.

“Abang saya yang patut membawa bas persiaran ini ke Kuantan bersama penumpang tetapi disebabkan keadaan kesihatannya kurang mengizinkan, dia meminta saya menggantikannya.

“Namun, selepas tiba di Tol Gombak, di sini, bas persiaran saya ditahan oleh anggota penguat kuasa (JPJ) kerana kesalahan tiada lesen memandu sah dan juga PSV.

“Saya tahu ini satu kesalahan serius tetapi ia tidak dapat dielakkan kerana mahu membantu abang saya yang kurang sihat dan saya diarahkan menunggu sehingga pemandu baharu yang berlesen memandu sah sampai,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Bas persiaran tersebut dibenarkan meneruskan perjalanan kira-kira 9.30 pagi selepas abangnya tiba untuk mengambil alih tugas berkenaan.

“Sebelum ini, saya tidak pernah berdepan situasi sebegini sebab hanya bawa bas di dalam ibu negara dan di kawasan taman-taman sahaja.

“Selepas ini, saya perlu memastikan mengambil lesen memandu dan juga PSV elak diambil tindakan lagi,” ujarnya.

Operasi bersepadu hari ini difahamkan bermula seawal pukul 6 pagi tadi dan melibatkan seramai 70 pegawai dan anggota termasuk dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC) dan polis trafik Bukit Aman.

Semalam,Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, JPJ mengadakan operasi bersepadu besar-besaran terhadap bas persiaran di seluruh negara bermula hari ini. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI