fbpx

Pengurus didenda miliki alat elektronik bacaan al-Quran tanpa perakuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh (kiri) ketika hadir ke Mahkamah Majistret George Town, hari ini. - Foto oleh NOOR HASLIZA NUSI/KOSMO!

GEORGE TOWN – Seorang pengurus syarikat didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Jenayah di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 564 unit alat elektronik bacaan ayat al-Quran bernilai hampir RM11,711, empat bulan lalu.

Tertuduh, Peter Ch’Ng Kian Poh, 31, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa memiliki sebanyak 13 unit Ebook-ku, 492 unit Elektree Zikir & Ruqyah dan 59 unit clock Quran Speaker yang tiada perakuan kelulusan Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah premis di Jalan Selatan, Jelutong, kira-kira pukul 1.45 tengah hari, 26 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa KDN, Mahadzir Saad manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mima Falaq Mohd. Firdaus.

Ketika prosiding, Mahadzir memohon hukuman denda yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh serta peniaga-peniaga lain agar lebih bertanggungjawab ke atas kesucian al-Quran dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Mima bagaimanapun merayu agar dikenakan denda minimum memandangkan tertuduh yang memperoleh pendapatan RM8,000 sebulan masih menjaga kedua ibu-bapanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan denda sebanyaK RM10,000 dan dipenjara 12 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Kosmo! difahamkan, tertuduh telahpun membayar denda yang dikenakannya itu sejurus pendakwaan terhadapnya selesai dijalankan tadi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI