PENDANG – Seorang pemandu treler maut apabila kenderaan yang dia pandu merempuh belakang sebuah treler lain di Kilometer 62 Lebuh Raya Utara-Selatan, awal pagi ini.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Pendang, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Ezzat Emran Ezani berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2.09 pagi.
Setibanya di lokasi katanya, mangsa didapati tersepit dalam kenderaan yang remuk teruk.
“Pihak kami kemudiannya berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu menggunakan kelengkapan menyelamat khas.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, berikutan keadaan kenderaan yang remuk, pihaknya mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mangsa.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.-KOSMO!ONLINE