GAYA harian bukan sahaja cara seseorang mengekspresikan diri, malah cukup penting memandangkan ia perkara yang pertama dilihat pada diri individu.
Jika tersilap memilih penampilan bersesuaian sama ada sebagai gaya harian mahupun untuk menghadiri majlis tertentu, ia boleh menjejaskan mood dan hari anda.
Bagi usahawan Muslimah kelahiran satu desa di Riau, Indonesia iaitu Linda Anggreaningsih, penampilan hariannya cukup dititikberatkan, apatah lagi selepas jenama tudung yang diasaskannya sudah pun memasuki pasaran Malaysia.
Maka, tidak hairanlah, penampilan wanita yang lebih mesra disapa sebagai Linda itu perlu sentiasa mencuri perhatian, kerana ia melambangkan identiti dan juga karakter peribadinya.
Barangkali, ramai pengguna media sosial yang mengikuti akaun Instagram Linda sering melihat kelibat wanita berhijab ini yang menggayakan pakaian daripada rona sama dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.
Ujar Linda, ia merupakan signature look yang dibawakannya, memandangkan dia secara peribadi amat sukakan gaya satu tona.
Ungkap wanita berusia 33 tahun itu, dia mengakui dirinya berasa lebih yakin tatkala menggayakan fesyen sedemikian.
“Lazimnya, kebanyakan wanita yang berhijab misalnya, akan menggayakan baju, seluar dan tudung dalam warna yang sedikit berbeza, namun masih sepadan.
“Begitu pun, bagi saya, saya lebih memilih memakai rona yang sama dari hujung kepala sehingga ke hujung kaki,” kongsinya.
Ujar Linda juga, rona sama yang digayakan dari hujung rambut sehingga ke hujung kakinya berfungsi menaikkan ‘mood’ atau perasaannya pada hari itu.
“Bagi saya, mood ini cukup penting sebelum memulakan hari kita.
“Apabila kita nampak cantik, mood kita juga bertambah baik dan secara automatik, ia menzahirkan perasaan dan juga minda yang positif,” kongsinya.
Antara rona-rona pilihan untuk digayakan secara ‘head to toe’ termasuk merah, merah bata, merah jambu, biru dan juga kuning.
Bagi kebanyakan orang juga, warna merah jarang menjadi warna pilihan buat gaya head to toe ini, namun berbeza bagi Linda apabila dia cukup berani menggayakan tudung, baju, skirt dan tas tangan merah buat gaya hariannya.
“Ada yang menganggap warna merah akan nampak agak keterlaluan atau berlebih-lebihan jika digayakan bersama aksesori atau tudung yang juga daripada rona merah.
“Namun, bagi saya, ia menjadikan saya lebih yakin kerana warna-warna seperti merah dan kuning adalah merupakan my happy colours atau warna kegembiraan buat saya.
“Bahkan, apabila saya menggayakan warna merah, ramai akan memuji dan mengatakan bahawa warna tersebut nampak sesuai dengan saya,” kata usahawan jenama Buttonscarves itu.