fbpx

Selepas kena kritik pakaian baharu Kontinjen Malaysia ‘lebih garang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOTIF belang Harimau yang lebih garang pada pakaian bakal digunakan atlet negara pada temasya Sukan Olimpik Paris nanti.

SELEPAS berdepan pelbagai kritikan terhadap reka bentuk dan motif pakaian Kontinjen Malaysia yang dilihat tidak menyerlah, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersetuju menambah baik rekaan baharu yang menampilkan corak belang Harimau ‘lebih garang’ di Olimpik Paris 2024 nanti.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam satu kenyataan berkata, reka corak baharu yang dipilih adalah berlatarbelakangkan warna hitam dengan belang Harimau berwarna kuning yang lebih jelas dan besar di sebelah hadapan dan di belakang jaket.

Tegas Norza, rekaan baharu tersebut turut berlaku perubahan pada logo MOM dengan Jalur Gemilang kembali dilakar mengikut warna-warna bendera Malaysia diiringi lima gegelung Olimpik, berbanding logo MOM berwarna emas yang dipaparkan pada corak terdahulu.

“MOM berasakan bahawa reka corak baharu ini melambangkan semangat Harimau yang sudah menjadi identiti Kontinjen Malaysia sejak kali pertama ia diperkenalkan pada Temasya Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA di Manila pada 2005.

“Adalah menjadi harapan MOM mewakili pemegang taruh termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) agar ‘semangat’ Harimau menjadi inspirasi untuk atlet negara mengaum di kota Paris nanti.

“Untuk kemeja T berkolar berwarna emas, MOM mengekalkan corak dan motif yang sama, tetapi dengan lakaran logo MOM yang berlambangkan warna-warna Jalur Gemilang sebagai tanda menghormati bendera negara,” katanya.

Dalam pada itu, MOM turut menjelaskan bahawa pihaknya mendapat kebenaran daripada pihak penaja Yonex Sunrise Malaysia agar logo Yonex atau YY tidak dipaparkan di kedua-dua jaket dan kemeja T.

“Ini adalah kerana proses untuk Yonex Sunrise Malaysia mencetak dan menyediakan pakaian rasmi ini memerlukan proses perjanjian dengan pengilang sebagai prosedur operasi standard (SOP) jenama itu.

“Maka, Yonex Sunrise Malaysia memberi keizinan khas kepada MOM untuk mencetak dan mengeluarkan jaket ini dengan fabrik pengilang berbeza sebagai pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 disebabkan faktor masa.

“MOM juga amat menghargai kesediaan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menghormati kedudukan MOM sebagai badan payung Persatuan Sukan Kebangsaan yang bebas dan diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sebagai Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) sejak 1954.

“Dengan keputusan ini, MOM mengharapkan agar seluruh rakyat Malaysia menghulurkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada semua anggota Kontinjen Malaysia di Temasya Sukan Olimpik Paris 2024, mulai 26 Julai hingga 11 Ogos nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI