fbpx

Northport rakan strategik NTW 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman (tiga dari kiri) menerima sijil penghargaan daripada Anwar pada majlis kemuncak NTW 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – Northport (Malaysia) Berhad (Northport) telah diiktiraf sebagai salah satu rakan strategik Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 bersempena penganjuran program tersebut di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, penyertaan Northport dalam NTW mencerminkan komitmen Kumpulan untuk menyumbang kepada pembangunan modal insan negara.

“Dengan menawarkan pelbagai program latihan yang komprehensif berkaitan industri pelabuhan dan logistik, kami berhasrat untuk menyediakan dan melengkapkan rakyat dengan pendedahan, kemahiran dan kecekapan yang diperlukan untuk berjaya dalam pasaran pekerjaan yang sentiasa berubah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Azman mewakili Northport untuk menerima sijil penghargaan tersebut daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Kemuncak NTW 2024.

NTW 2024 telah berlangsung di seluruh negara dari 24 hingga 30 Jun lalu, dengan tujuan menawarkan lebih 25,000 program latihan percuma kepada 200,000 rakyat Malaysia.

NTW adalah acara peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh HRD Corp dengan tujuan memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan majikan, penyedia latihan dan orang awam.

Program selama seminggu ini menyediakan peluang dan ini­siatif untuk meningkatkan kemahiran dan pembelajaran semula tenaga kerja melalui pelbagai kaedah dan platform pembelajaran yang disediakan oleh pemain industri tempatan secara percuma untuk semua rakyat.

Tambah Azman, Northport komited untuk menyediakan peluang pembelajaran berterusan termasuk program TVET kepada semua tanpa mengira jantina.

“Kami percaya bahawa dengan menawarkan program latihan yang boleh diakses dan inklusif, kami dapat memperkasakan tenaga kerja lelaki dan wanita untuk cemerlang dalam industri pelabuhan dan logistik,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI