fbpx

Nafi ‘makan’ duit derma, Aisyah Hijanah nak saman pemfitnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aisyah menegaskan dia dan suami tidak pernah menggunakan wang derma untuk tujuan peribadi seperti didakwa

PETALING JAYA – Lama mengunci mulut selepas dakwaan menyeleweng dana orang awam, pempengaruh Aisyah Hijanah tampil menafikan segala tuduhan dilemparkan terhadap dirinya dan suami iaitu Alif Teega.

Bukan untuk menegakkan benang basah, Aisyah atau nama sebenarnya Aisyah Hijanah Azhari, 29, menegaskan, dia dan suami tidak pernah menggunakan wang tersebut untuk tujuan peribadi mahupun menerima komisyen sebanyak 20 peratus seperti didakwa.

“Saya ingin menegaskan saya dan suami tidak menggunakan duit derma sewenangnya untuk tujuan peribadi. Kami juga tidak menerima komisyen sebanyak 20 peratus sebagaimana yang didakwa.

“Saya pilih untuk serahkan segalanya kepada peguam saya sebab risau kenyataan saya akan dimanipulasi dan isu ini menjadi lebih besar.

“Ditambah pula ada yang buat akaun Facebook palsu sedangkan saya cuma ada Instagram dan TikTok,” katanya menerusi sebuah hantaran dalam Instagram.

Enggan lagi berkompromi, Aisyah bakal mengambil tindakan undang-undang kepada pihak-pihak yang memfitnah dia dan Alif selain menegaskan segalanya akan dilakukan melalui proses mahkamah.

“Insya-Allah saya memandang serius apa kenyataan diberikan oleh beberapa individu yang saya kenal pasti berdasarkan sumber dikeluarkan akaun yang memfitnah saya.

“Tindakan akan diambil ke atas mereka. Tiada lagi sebarang respons daripada pihak saya dan suami, kita buat secara profesional,” jelasnya.

Aisyah juga memuat naik foto yang mengandungi hebahan media daripada peguam bela yang mewakilinya iaitu Rahim, Aidil & Partners untuk mengukuhkan lagi kenyataannya selain membuktikan dia bukan sekadar bercakap kosong.

“Selanjutnya atas arahan anak guam, pihak kami menegaskan bahawa segala aset-aset yang diperolehi oleh anak guam kami adalah atas daya usaha beliau sendiri tanpa menyalahgunakan mana-mana dana mahupun kutipan derma.

“Seterusnya atas arahan anak guam, kami dengan tegas menyatakan bahawa anak guam kami menafikan sebarang penglibatannya mengenai skim 20% yang diterima pempengaruh (influencer) bagi keseluruhan kutipan derma oleh platform JomDonate,” demikian sebahagian petikan daripada kenyataan peguam tersebut.

Sebelum ini, tular dalam media sosial apabila sebuah akaun di Facebook mendakwa Aisyah membuat kutipan derma untuk tujuan kepentingan peribadi.

Akaun terbabit turut mendakwa personaliti media sosial itu sanggup mencipta kontroversi dimadukan suaminya demi mencari publisiti dan simpati masyarakat.

Tidak hanya itu, akaun itu juga mendakwa masyarakat mudah tersentuh dengan isu isteri yang dianiaya dan akan terpedaya untuk memberikan derma.

Mereka juga mempersoalkan kemewahan dimiliki Aisyah dan mendedahkan tindakan personaliti itu hanya diketahui bekas pekerja, pembekal tudung (rakan bisnes) dan pempengaruh media sosial. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI