ASSEN – Pelumba utama Ducati yang juga juara dunia, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia mengakui puas dapat mempamerkan aksi sempurna untuk mendominasi saingan Grand Prix (GP) Belanda di Litar Antarabangsa Assen kelmarin.
Pada perlumbaan itu, Pecco itu tidak mempunyai masalah untuk menafikan cabaran jaguh Pramac Racing, Jorge Martin di kedudukan kedua, manakala Enea Bastianini melengkapkan kedudukan podium.
Kemenangan tersebut juga menyaksikan Pecco kini semakin hampir untuk memintas kedudukan Martin selaku pendahulu keseluruhan kategori pelumba apabila kini hanya dibezakan dengan 10 mata.
Kata Pecco, prestasi yang dipamerkan pada GP Belanda kali ini adalah yang terbiak sepanjang kempen MotoGP musim ini kerana berjaya mendahului perlumbaan daripada awal saingan seperti ketika dia menyertai saingan Moto2 edisi 2018.
“Saya anggap faktor jentera yang sempurna juga memainkan peranan penting untuk memastikan kemenangan ini dapat dicapai. Apa yang pasti, saya optimis dengan peluang yang ada dan hanya perlu berlumba tanpa memikirkan tekanan,” katanya.
Sementara itu, Martin mengakui layak menduduki tangga kedua kerana Pecco berada dalam kelas tersendiri meskipun berusaha untuk memintas kedudukannya sebelum garisan penamat.
“Saya tidak mampu untuk memberikan alasan pada perlumbaan kali ini kerana kami kedua terbaik daripada semua aspek. Apa yang penting, saya masih mampu gembira kerana ini adalah podium ke-50 dalam karier saya,” katanya. – AGENSI