fbpx

Majikan, pekerja ambil langkah selamat hadapi perubahan cuaca – NIOSH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Majikan dan pekerja perlu peka dengan perubahan cuaca yang melanda negara dan melaksanakan langkah-langkah pencegahan komprehensif.

Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Manivanan Gowin berkata, ia bertujuan mengurangkan risiko yang boleh menyebabkan kemalangan dan penyakit di tempat kerja.

“Pekerja pula harus proaktif dalam melindungi diri daripada kemalangan dan penyakit yang mudah menular apabila cuaca menjadi terlalu panas atau hujan berterusan.

“Jika sebelum ini para pekerja berhadapan cuaca panas melampau (heatwave) yang boleh menyebabkan tegasan haba (heat stress), kini mereka bakal berhadapan cabaran berlainan apabila fenomena La Nina melanda negara mulai bulan ini (Julai),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Manivanan berkata, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) baru-baru ini memaklumkan fenomena La Nina dijangka membawa keadaan cuaca lebih lembap antara Julai dan September.

Ia lazimnya mencapai kemuncak menjelang akhir tahun dan berterusan pada awal tahun depan.

“Berdasarkan kes-kes sebelum ini, antara risiko yang bakal dihadapi di tempat kerja terbuka adalah hujan lebat yang boleh menyebabkan tanah runtuh dan banjir.

“Kes demam denggi juga lebih kerap dilaporkan apabila banyak air bertakung, manakala kawasan yang dilanda banjir berhadapan risiko penyakit seperti taun, kencing tikus (leptospirosis) dan cirit-birit,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya majikan dan pekerja melaksanakan pendekatan ‘HIRARC’ (pengenalpastian hazard, penaksiran risiko dan kawalan risiko).

“Ia adalah proses sistematik yang digunakan dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) bagi memastikan langkah-langkah keselamatan diambil.

“Dalam musim hujan misalnya, risiko tambahan seperti tergelincir dan jatuh boleh berlaku.

“Majikan dan pekerja perlu kenal pasti dan atasi risiko sebegini, seperti memasang lapisan lantai anti-gelincir dan memastikan saluran air berfungsi dengan baik,” tambahnya.

Beliau berkata, NIOSH menawarkan perkhidmatan konsultasi dan mempunyai kepakaran untuk membantu majikan mengenal pasti dan mengurangkan risiko berkaitan cuaca.

Penyelesaian yang ditawarkan katanya, akan disesuaikan untuk setiap tempat kerja bagi memastikan ia selamat dan mematuhi amalan terbaik untuk setiap keadaan cuaca.

“NIOSH juga sedia beri khidmat nasihat dan rundingan untuk para majikan memenuhi tanggungjawab mereka seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang dikuatkuasakan mulai 1 Jun lepas,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI