PUTRAJAYA – Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (Kopetro) mengunjurkan pendapatannya menjelang akhir tahun 2025 mencecah kepada RM500 juta dipacu daripada pelan strategik yang dirangka untuk menjadikannya lebih berdaya saing dan berdiri kukuh dengan pelbagai perancangan perniagaan yang strategik masa depan.
Pengerusinya, Roslan Abdul Rahim berkata, pihaknya berkeyakinan untuk mencapai misi tersebut melalui usaha lebih agresif untuk menguatkan perniagaan teras koperasi yang tertumpu kepada sektor perkhidmatan kewangan, pelancongan dan riadah melalui anak syarikatnya, Kopetro Travel & Tours.
Turut menyumbang kepada peningkatan hasil bakal dipacu oleh kontrak jangka masa panjang yang dimeterai oleh anak syarikatnya, Kopetro Retail dengan Petronas Lubricant Marketing (M) Sdn. Bhd. (Petronas Lubricant).
“Bisnes ini telah bermula dan untuk tempoh lima bulan akan datang, kami sasarkan jualan sebanyak RM20 juta, manakala dalam tempoh setahun ia akan mencecah lebih daripada RM50 juta seterusnya melonjak sekali ganda pada tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-41 dan juga majlis pemeteraian perjanjian melalui anak syarikatnya, Kopetro Trading dengan Gentari Renewables Sdn. Bhd dan Kopetro Retail dengan Petronas Lubricants di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Roslan menerangkan, untuk mengukuhkan perancangan strategik masa depan, Kopetro telah menceburi bidang Ar Rahnu dan sektor hartanah dengan pembinaan projek perumahan di Lembah Klang.
Kopetro merekodkan jumlah pendapatan sebanyak RM344 juta bagi tahun kewangan 31 Disember 2023, naik sebanyak 18 peratus berbanding RM291 juta tahun sebelumnya.
Kopetro yang diiktiraf sebagai koperasi ke empat terbaik di seluruh negara itu mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM9.2 juta tahun lalu, naik sebanyak 64 peratus berbanding tahun 2022.
Dalam AGM tersebut, Kopetro mengumumkan agihan dividen yuran tahunan sebanyak lima peratus, modal syer sebanyak enam peratus dan syer bonus sebanyak 2.5 peratus.
Sehingga kini, koperasi yang mula ditubuhkan pada tahun 1980 itu memiliki lebih daripada 15,000 kakitangan Petronas dan anak-anak syarikatnya. -KOSMO! ONLINE