PARIT BUNTAR – Isu gejala buli yang berlaku di institusi pendidikan tidak perlu disembuyikan tetapi ia harus ditangani berdasarkan garis panduan diberikan oleh pihak Kementerian Pendidikan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihak kementerian telah melakukan penambahbaikan dalam garis panduan anti buli bagi menangani gejala buli di institusi pendidikan negara ini dengan kerjasama semua agensi termasuk pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemegang taruh dan pihak bersangkutan.
“Kita bagi ruang penuh bagi meningkatkan keupayaan dan kapasiti serta peranan guru kaunseling dan kaunselor di sekolah dalam menangani isu buli ini dan semuanya kita laksanakan dengan komitmen semua dan secara berterusan.
“Saya yakin dengan kerjasama dengan semua pihak,kita akan menangani gejala buli ini dengan lebih berkesan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Anti Buli Peringkat Daerah Kerian di Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Krian di sini hari ini.
Menurut Fadhlina, beliau yakin dengan kerjasama dengan semua pihak gejala buli akan ditangani dengan lebih berkesan khususnya dalam konteks memastikan pendidikan dan peringatan itu secara berterusan.
“Apabila kita terima banyak aduan berhubung isu buli, itu menunjukkan bahawa semua pihak sedar tentang keterbukaan ruang untuk bercakap isu ini.
“Apabila kita terima aduan buli yang tinggi menunjukkan mereka bersedia untuk bercakap dan bersedia untuk memberikan maklumat kepada kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE