LABUAN – Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung di bahagian belakang pintu bilik rumahnya di Kampung Sungai Lada pada Sabtu lalu.
Lelaki berusia 47 tahun itu yang dipercayai bekerja sebagai nelayan ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd. Hamizi Halim berkata, kejadian disedari oleh isterinya ketika mahu masuk ke dalam bilik tidur berkenaan.
“Bagaimanapun, punca kejadian belum dapat dipastikan. Sebelum kejadian, lelaki itu meminta isteri dan lima anaknya keluar rumah namun mereka enggan berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamizi berkata, bedah siasat telah dijalankan kelmarin dan punca kematian adalah disebabkan gantung diri. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE