SKUAD bawah 16 (B-16) negara perlu berpijak di bumi nyata kerana hasrat untuk bersaing dalam kejohanan Piala Dunia B-17 2025 di Qatar mungkin semakin jauh untuk digapai.
Pandangan tersebut disuarakan oleh bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar selepas melihat pasukan remaja kebangsaan terkandas di peringkat kumpulan pada Kejuaraan AFF B-16 di Surakarta minggu lalu.
Kata Azlan, pasukan kendalian Javier Jorda Ribera itu tidak perlu memandang terlalu jauh dengan bersaing pada saingan tertinggi di peringkat remaja seperti Piala Dunia B-17 jika wilayah ASEAN pun masih gagal memberi saingan.
“Kita main di peringkat Asia Tenggara pun masih gagal memberi saingan, bukan suruh menang (kejohanan), tetapi inilah hakikat yang perlu kita lihat.
“Secara jujur, masih jauh lagi untuk menunaikan impian menyaksikan pasukan negara bersaing pada kempen Piala Dunia B-17. Saya anggap pemain era 90-an pada usia mereka mampu beraksi lebih baik.
“Pasukan lain semakin menunjukkan peningkatan, tetapi sebaliknya yang berlaku dengan skuad negara kerana pemain dilihat lebih fokus dengan gaya serta keterampilan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Skuad B-16 negara terkandas di peringkat Kumpulan C selepas tewas kepada Thailand dan Australia meskipun berjaya memulakan kempen dengan langkah kanan apabila membenam Timor Leste 5-0.
Fokus skuad B-16 kini akan dialihkan pada kempen kelayakan Piala Asia B-17 2025 yang akan berlangsung pada Oktober depan dengan pasukan negara diundi bersama Laos, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Lebanon.
Saingan tersebut boleh dianggap sebagai ‘langkah pertama’ skuad B-16 untuk menggapai impian ke Piala Dunia B-17 2025 kerana pasukan teratas serta lima naib juara terbaik bakal layak secara merit ke Piala Asia B-17 2025 nanti.