fbpx

HeiTech mahu jadi penyedia teknologi digital bersepadu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salmi Nadia Mohd Hilmey

PETALING JAYA – HeiTech Padu Berhad (HeiTech) bersedia untuk menerajui transformasi digital merentasi pelbagai industri melalui penyelesaian digitalnya untuk pertumbuhan kewangan yang mampan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Salmi Nadia Mohd Hilmey berkata, aspirasi Kumpulan adalah untuk menjadi penyedia teknologi digital menyeluruh dengan menawarkan penyelesaian holistik merangkumi penyelesaian bandar pintar, perkhidmatan perusahaan, teknologi penja­gaan kesihatan, sistem tenaga dan kuasa, inovasi automotif dan teknologi pertahanan.

“Kami sedang mengatur dan mempertingkatkan tawaran kami untuk memenuhi keperluan pasaran hari ini yang semakin berkembang bagi memastikan kerelevanan dan daya saing.

“Melalui kepakaran dalam ­penyelesaian bandar pintar, kami menyasarkan untuk te­rus memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara melalui Internet Benda (IoT), Ke­pintaran Buatan (AI) dan analisis data,” katanya dalam kenyataan semalam.

 

Daripada penyedia per­­khidmatan penyepaduan sistem dan infrastruktur terurus, Heitech telah berkembang menjadi penyedia produk dan perkhidmatan teknologi digital melalui penciptaan produknya sendiri merangkumi sistem tempat letak kereta pintar, e-KYC gerbang pembayaran secara elek­tronik serta aplikasi pintar.

Penyelesaian tempat letak kereta pintar Heitech, Park Smart Plus (PS+), memanfaatkan teknologi geolokasi untuk memberikan pengalaman parkir yang lancar dan meningkatkan pengurusan trafik, kecekapan tenaga dan pengurangan jejak karbon.

Selain itu, sistem pengurusan pihak berkuasa tempatan Kumpulan iaitu Kolleq, meningkatkan kecekapan pentadbiran dan pe­nyampaian perkhidmatan.

Baru-baru ini, HeiTech me­ngumumkan prestasi kewangan lebih kukuh untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2024, dengan keuntungan selepas cukai RM231,000 berbanding kerugian selepas cukai RM3.34 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Kedudukan Kumpulan kekal kukuh dalam sektor awam dan swasta dengan perolehan kontrak baharu, antaranya dengan Jabatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Kesihatan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI