fbpx

Hazrat Muaz seram rasai ritual mistik kuda kepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAZRAT Muaz teruja bercampur seram dapat terlibat dalam sebuah drama memaparkan ritual mistik kuda kepang dalam drama Lumping Putih sempena Maal Hijrah siaran RTM.

PENGALAMAN merasai dan menyaksikan sendiri satu ritual mistik dalam dramatari tradisional kuda kepang memberikan seribu satu emosi buat Hazrat Muaz sepanjang menjalani penggambaran telefilem Lumping Putih.

Bagaikan dirasuk, perlakuan penari dramatari berkenaan mengejutkan dirinya sementelah, itulah pengalaman pertamanya menyaksikan permainan kuda kepang secara langsung.

“Saya teruja dalam masa dihambat perasan seram dan takut apabila menyaksikan satu upacara ritual dalam kuda kepang. Bayangkan permulaan upacara sahaja, pemain kuda kepang tersebut bagai dirasuk dan menjadi orang lain. Mereka mula menari dan mengikut gerakan yang sukar untuk difahami.

“Selama ini saya hanya mengetahui tentang seni dan warisan kuda kepang menerusi tontonan dalam televisyen atau pembacaan, tetapi kali ini bertuah kerana dapat terlibat sama dengan kuda kepang apabila berlakon drama Lumping Putih bersama dengan pelakon hebat lain. Memang satu pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan,” kata Hazrat yang membawa watak Lam Nasyrah dalam telefilem berkenaan.

Lumping Putih merujuk kepada kuda kepang putih yang menjadi sebahagian daripada ‘watak’ penting kuda kepang. Telefilem tersebut bukan sahaja mengangkat seni dan budaya bahkan turut mengetengahkan unsur khurafat yang ada dalam persembahan trasional berkenaan.

Diarahkan oleh Epo Jenon, Lumping Putih diterbitkan Unit Drama RTM akan menemui khalayak pada 7 Julai ini sempena sambutan Maal Hijrah.

Selain Hazrat, antara pelakon lain yang terlibat termasuklah Zaidi Omar, Azizah Mahzan, Soffi Jikan, Akmal Ahmad, Amalina Arham, Adam Ikmal, Ruzaidi Abd Rahman dan Asmidar.

Tambah pelakon yang berasal dari Kuantan, Pahang itu lagi, pengalaman tersebut juga sungguh mengujakan. Biarpun terdiri daripada nama-nama besar, mereka tidak pernah lokek menurunkan banyak ilmu lakonan kepada orang baharu sepertinya.

“Bila berada di set, saya gembira kerana semua pihak memberikan kerjasama baik untuk melancarkan penggambaran. Saya sendiri sudah membuat beberapa kajian tentang kisah kuda kepang ini agar dapat memahami dengan lebih jelas kisah Lumping Putih selain memahami kehendak pengarah.

“Hampir dua minggu kami berkampung di set penggambaran, banyak perkara baharu yang saya perolehi. Mereka ajar bagaimana untuk melontarkan dialog dan permainan emosi yang betul, saya sangat hargainya,” kata Hazrat yang sudah membintangi beberapa buah drama popular sebelum ini.

Menjalani penggambaran di Muar dan Batu Pahat, Lumping Putih sebenarnya mengangkat tarian tradisional  di Johor terutama masyarakat berketurunan Jawa.

Drama  diolah berkisarkan sebuah keluarga yang masih meneruskan warisan berkenaan mengisahkan seorang penggiat kuda kepang Min Lazim, bapa anak tiga (Alif Narbawi, Lam Nasyrah dan Mim Iqlab) yang mahu menurunkan warisan kuda kepang kepada anak sulung Alif Narbawi.

Keputusannya tidak persetujui Mim Iqlab disebabkan si bapa mahu mengekalkan adat kuda kepang tradisional yang ada ritual pembuka dan penutup.

“Apa yang diangkat dalam naskhah ini bukan sekadar mahu mengingati kuda kepang semata-mata sebaliknya ia sarat dengan seribu satu pengajaran. Saya hormati mereka yang masih meneruskan tarian ini walaupun kebanyakan generasi muda sudah kurang mengenalinya.

“Yang mana baik, kita teruskan. Yang buruk pula kita tinggalkan. Apa yang penting mesej baik akan sampai kepada penonton,” tambahnya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI