fbpx

Gigi belum tumbuh sudah ‘kena’ – Pendakwaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zara meninggal dunia selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor, dipercayai akibat penderaan fizikal dan seksual oleh suami pengasuh bayi tersebut.

PUTRAJAYA – Seorang bekas tukang gunting rambut yang membunuh seorang bayi perempuan berusia 11 bulan yang dipanggil bayi Zara kekal menjalani hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Rhodzariah Bujang selepas menolak rayuan akhir oleh Hazmi Majid, 42, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu.

“Sabitan dan hukuman (gantung sampai mati) adalah selamat. Keputusan sebulat suara mengekalkan hukuman seperti mana diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi,” kata Rhodziah.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Terdahulu, peguam T. Vijay yang mewakili perayu berhujah, anak guamnya tidak sedar perbuatan tersebut kerana di bawah pengaruh dadah selain memohon lelaki itu dikenakan hukuman penjara 30 tahun jika mahkamah mengetepikan hukuman mati.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi selaku responden berhujah, rayuan Hazmi di bawah pengaruh dadah wajar ditolak.

Ia berdasarkan tindakannya cuba melupuskan bahan bukti dengan membasuh tuala bagi menghilangkan darah menunjukkan dia sedar ketika kejadian berlaku.

“Mangsa dihantar ibunya ke rumah pengasuh pada hari kejadian pukul 6.45 pagi dan nazak pukul 1.30 petang. Bayi itu hanya seberat 8.26 kilogram, gigi pun belum tumbuh manakala pendarahan teruk pada otak menyebabkan peluangnya untuk hidup amat tipis,” hujah Tetralina.

Pendakwaan turut berhujah, kes berkenaan menepati kehendak `kes yang paling jarang di antara yang jarang berlaku’ yang mewajarkan hukuman mati dikekalkan.

Beliau turut berkata, keterangan pendakwaan menyatakan perayu tidak pernah membantu isterinya namun pada hari kejadian dia menawarkan diri memandikan `Baby Zara’.

Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal atau Zara

Mengikut pertuduhan, Hazmi yang merupakan suami kepada pengasuh mangsa, didakwa membunuh dan menyebabkan kematian Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal atau Zara, di sebuah unit di sebuah pangsapuri di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, antara pukul 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari pada 7 November 2018.

Justeru pertuduhan terhadapnya dikemukakan Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Pada 1 Mac tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati terhadap Hazmi atas pertuduhan itu selepas menolak rayuannya.

Sebelum itu, pada 20 Ogos 2021 Mahkamah Tinggi Shah Alam turut menjatuhi hukuman sama terhadap Hazmi.

Selain kes bunuh, pada tahun 2019 Hazmi turut dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas dua pertuduhan seksual memasukkan jari ke dalam kemaluan dan dubur bayi itu.

Media sebelum ini melaporkan bayi itu meninggal dunia selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor, dipercayai akibat penderaan fizikal dan seksual oleh suami pengasuh bayi tersebut.

Ibu mangsa sebelum ini dimaklumkan bahawa bayi itu dihantar ke hospital oleh pasangan terbabit yang mendakwa kanak-kanak itu tercekik buah epal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI