fbpx

Geng K-Boy curi kereta mewah tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein (dua kanan) menunjukkan kereta mewah jenis Porsche yang dirampas daripada Geng K-Boy. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

SHAH ALAM – Kegiatan jahat Geng K-Boy aktif mencuri kenderaan mewah sejak setahun lalu berjaya ditumpaskan dengan penangkapan tujuh individu termasuk ketuanya dalam serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Perak, baru-baru ini.

Penangkapan kesemua suspek termasuk dua wanita berusia 31 hingga 54 tahun itu dilakukan antara 27 hingga 30 Jun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penangkapan geng penjenayah tersebut susulan laporan polis diterima daripada seorang lelaki berusia 42 tahun pada 24 Jun lalu.

Katanya, berdasarkan laporan berkenaan didapati rumah sewa majikan pengadu di Taman Ehsan, Kepong dekat sini telah dipecah masuk dengan tiga buah kereta mewah iaitu Audi R8, Posche 718 Cayman dan Suzuki Swift telah dilarikan suspek.

Ini menyebabkan kerugian terhadap majikan pengadu sebanyak RM700,000 dengan semasa kejadian majikannya berada di China.

“Hasil maklumat kemudiannya membawa serbuan di sekitar Kuala Lumpur. Johor Bahru dan Perak dengan menahan lima lelaki dan dua wanita.

“Tangkapan terdiri daripada seorang suspek yang merupakan perancang utama bersama tiga rakan sejenayah yang melakukan pecah rumah dan curi kenderaan. Manakala, tiga lagi adalah yang mempunyai pengetahuan tentang kegiatan itu,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Ekoran tangkapan itu, beliau menegaskan pihaknya berjaya merampas empat buah kenderaan termasuk tiga yang dilarikan suspek berdasarkan laporan di Kepong tersebut selain peralatan jenayah.

Tambah Hussein, kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Perancang utama geng tersebut yang berusia 38 tahun mempunyai 16 rekod jenayah dan lima rekod dadah. Modus operandi kumpulan ini adalah mengenalpasti rumah-rumah yang memiliki kenderaan mewah sebelum melakukan pecah rumah sebelum melarikan kenderaan itu.

“Suspek dipercayai akan menggunakan aktiviti jenayah lain selain menjualnya,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan. -KOSMO!ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI