PETALING JAYA – Pelakon dan usahawan, Fazura menangkis dakwaan sebilangan pihak bahawa rumah tangganya dengan Fattah Amin kini bermasalah.
Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin, 41, berkata, suami dan anaknya ada di rumah dan mereka memilih untuk menjalani hidup lebih privasi ketika ini.
“Ada di rumah! Keeping things private these days (hidup lebih privasi sekarang ini). Eyes on Rafah (semua mata tertumpu kepada Rafah),” katanya membalas satu pertanyaan peminat dalam ruangan komen Instagram.
Terdahulu, tiada angin, tiada ribut heboh dalam media sosial apabila segelintir peminat mendakwa hubungan Fazura dan Fattah kini sedang dilanda masalah.
Alasannya kerana, mereka dikatakan sudah tidak lagi saling meninggalkan komen atau tanda suka (likes) dalam media sosial masing-masing.
Tidak terhenti di situ, kisah rumah tangga mereka itu juga turut dibincangkan di sebuah laman sembang yang masing-masing mempunyai pandangan tersendiri mengenai keadaan rumah tangga pasangan itu.
Ada juga yang mempertahankan pasangan artis itu dengan mengatakan mereka tidak perlu untuk mempamerkan kebahagiaan di gelanggang media sosial.
Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada November 2017 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Fatima Aisya yang kini berusia 4 tahun. – KOSMO! ONLINE