STYRIA – Pelumba Mercedes, George Russell mengakui sangat berbangga apabila dapat menamatkan kemarau hampir dua tahun pasukan selepas berjaya muncul juara Grand Prix (GP) Austria di Litar Red Bull Ring kelmarin.
Pada perlumbaan tersebut, Russell boleh dianggap bernasib baik apabila dua pelumba pilihan, Max Verstappen dan Lando Norris yang mendahului sebahagian besar saingan berlanggar sesama sendiri.
Situasi tersebut memberi tuah buat Russell untuk memastikan Mercedes meraih kejuaraan GP pertama sejak November 2022 dengan menafikan cabaran Oscar Piastri di kedudukan kedua dan Carlos Sainz melengkap kedudukan podium,
“Saya telah dimaklumkan oleh jurutera pasukan peluang untuk menang sangat cerah kerana Verstappen dan Norris bersaing dengan cukup sengit pada penghujung perlumbaan sebelum mengalami kemalangan.
“Kemudian, saya hanya perlu mengekalkan pemanduan pada enam pusingan terakhir meskipun berdepan kesukaran apabila tayar semakin haus. Inilah lumrah perlumbaan kali ini mungkin saya bernasib baik, ada ketika mungkin saya gagal menang,” katanya.
Sementara itu, Piastri mengakui sekiranya perlumbaan dipanjangkan, mungkin peluang untuk memintas Russel lebih cerah, tetapi mengakui menduduki tangga kedua lebih baik berbanding tidak mendapat apa-apa. – AGENSI