fbpx

Euro 2024: Sepanyol terus pamer dominasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEPANYOL berjaya mempamerkan penguasaan mereka apabila bangkit menewaskan Georgia untuk mara ke kelompok lapan pasukan terbaik. - AFP

COLOGNE – Sepanyol berjaya mempamerkan kebangkitan hebat apabila menempah slot suku akhir dengan menewaskan Georgia 4-1 biarpun terlebih dahulu ketinggalan dengan jaringan sendiri pemain pertahanan mereka, Robin Le Normand.

Skuad kendalian Luis De La Fuente itu ketinggalan pada minit ke-18, namun empat gol menerusi Rodri, Fabian Ruiz, Nico Williams dan Dani Olmo melengkapkan kebangkitan untuk menamatkan perjalanan fantasi Georgia pada kempen kali ini.

“Saya fikir kami berjaya mengawal permainan sepanjang perlawanan dan bermain dengan cukup baik menentang pasukan lawan yang berdisiplin ketika bertahan serta mempunyai serangan balas pantas yang baik.

“Kami perlu membuat penilaian yang tepat mengenai betapa pentingnya kemenangan ini kerana Georgia adalah sebuah pasukan yang baik. Mereka cukup berbahaya ketika melakukan transisi, namun kami berjaya mengekang untuk mereka melakukan percubaan sepanjang aksi.

“Sudah tentu ketika mereka mendahului, kami berada dalam keadaan yang agak gementar. Namun, kami berjaya mencipta banyak peluang dan saya fikir kami mampu menang dengan keputusan 8-1 kali ini,” kata De La Fuente.

Kemenangan tersebut menyaksikan La Roja berjaya lolos ke kelompok lapan pasukan terbaik dan bakal berdepan cabaran tuan rumah, Jerman sekali gus mengulangi aksi final Euro 2008 ketika Sepanyol muncul juara.

Pemain tengah Sepanyol, Rodri mengakui aksi tersebut nanti bakal berlangsung dengan sengit ketika pasukannya enggan pulang awal dan mahu memburu kejuaraan pada kempen kali ini.

“Jerman mungkin mempunyai kelebihan kerana beraksi di tempat sendiri, namun kami tidak pernah takut. Kami berada di sini untuk memenangi perlawanan, bukan sekadar untuk bermain dengan baik untuk memberikan imej yang baik untuk pasukan ini.

“Beberapa perkara masih perlu kami perbaiki dan dalam beberapa aspek ketika perlawanan, kami tidak memberikan aksi yang terbaik, tetapi secara keseluruhan kami sangat dominan,” jelasnya.

Georgia berada di kedudukan ke-74 dalam ranking dunia, iaitu 66 anak tangga di belakang Sepanyol terus gagal melakar kejutan ke atas pasukan lawannya selepas dua kali tewas pada aksi kelayakan iaitu 1-7 di tempat sendiri dan 1-3 di Madrid. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI