GELSENKIRCHEN – Gol lewat permainan dan pada masa tambahan nyata menyelamatkan England selepas berjaya menewaskan Slovakia 2-1 untuk mengesahkan tempat di suku akhir pada aksi yang berlangsung di Veltins Arena awal pagi semalam.
Selepas ketinggalan menerusi gol Slovakia pada minti ke-25, England bernasib baik meraih gol penyamaan menerusi Jude Bellingham pada minit ke-95 sebelum meraih gol kemenangan menerusi Harry Kane pada masa tambahan.
Biarpun berjaya meraih kemenangan dan mara, aksi yang dipamerkan The Three Lions mengundang kritikan berterusan daripada para pemerhati menyebabkan pengendali pasukan, Gareth Southgate mengakui bersedia untuk berdepan kecaman.
“Saya boleh bayangkan bagaimana orang-orang di luar sana akan memberikan reaksi kepada pasukan walaupun kami menang.
“Kami sentiasa mahu memberikan aksi terbaik. Saya tidak akan berselindung di sebalik prestasi kami yang belum sempurna, tetapi anda boleh saksikan sendiri semangat dan karakter yang ditunjukkan oleh pemain,” katanya.
Tambahnya, barisan pertahanan England gagal bermain dengan baik pada babak pertama sehingga menyaksikan Slovakia berjaya meledak jaringan terutama apabila mereka kerap gagal mengeluarkan bola dari zon bahaya dengan baik.
Selain itu, England terus berdepan kesukaran pada bahagian pertahanan kiri sehingga memberikan kesan kepada keseimbangan pasukan.
“Kieran Trippier (pemain berkaki kanan) menjalankan tugas dengan baik di sebelah kiri walaupun ia tidak begitu sempurna. Kami berdepan masalah di bahagian tengah dan terpaksa mengambil sedikit masa untuk benar-benar tersusun,” jelasnya.
Dalam pada itu, Southgate turut memuji aksi dipamerkan Bellingham yang menyertai kempen Euro kali ini dengan jangkaan tinggi selepas aksi memberangsangkan bersama Real Madrid musim lalu.
“Dua jaringan yang cukup penting. Dia (Bellingham) adalah pemain yang baik, sentiasa bekerja keras dan mahu memberikan yang terbaik setiap kali beraksi.
“Dia juga tahu bahawa pasukan ini cuba untuk membantunya melepasi cabaran dan halangan dengan memberikan suasana berbeza dalam pasukan kebangsaan,” jelasnya.
Aksi suku akhir nanti bakal menyaksikan England bakal menentang Switzerland yang melakar kejutan menewaskan juara bertahan, Itali 2-0 pada aksi sebelum ini. – AGENSI