KUALA LUMPUR – Perancangan bagi pembangunan projek Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) sedang dilaksanakan secara pendekatan Keseluruhan Kerajaan menerusi kerjasama dan sinergi antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Perak serta SD Guthrie Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, buat masa ini proses penyediaan Pelan Induk KIGIP oleh SD Guthrie Bhd dipantau di bawah Pasukan Petugas Khas Pembangunan KIGIP yang dipengerusikan secara bersama oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan kerajaan negeri Perak.
“Malah, status penyediaan pelan induk ini dilaporkan secara berkala kepada Majlis Pelaburan Negara. Ini khususnya bagi memastikan perancangan dan pembangunan KIGIP selaras dengan hasrat kerajaan dan mencapai sasaran yang ditetapkan,” kata beliau ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian Ketika menjawab pertanyaan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang ingin tahu hala tuju KIGIP dalam meningkatkan pelaburan domestik yang selari dengan Pelan Halatuju Peralihan Tenaga.
Jelas Perdana Menteri, KIGIP adalah satu projek taman perindustrian yang akan dijana oleh tenaga solar sebagai sumber tenaga hijau utama dengan fasa pertama melibatkan pembangunan tanah berkeluasan 404.69 hektar.
“Selepas KIGIP beroperasi sepenuhnya kelak, ia akan memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan ekonomi negara serta pelabur asing dan domestik dijangka berminat untuk melabur di KIGIP,” kata beliau.
Beliau berkata operasi syarikat multinasional (MNC) di KIGIP juga akan berupaya untuk membina rantaian bekalan yang akan mampu menyokong perkembangan industri domestik.
“Selain menjana aktiviti ekonomi dan menarik pelaburan berkualiti, pembangunan KIGIP juga mampu menawarkan prospek kerjaya yang menarik dan berkualiti kepada bakat tempatan di kawasan sekitarnya,” kata beliau. – KOSMO! ONLINE