KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, nilai keseluruhan pelaburan diterima negara mencatatkan peningkatan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peningkatan itu antara lain disokong dan diimbangi oleh aliran masuk pelaburan domestik yang kukuh.
Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, kerajaan tidak bimbang dengan rekod penurunan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) pada tahun 2023.
“FDI menurun pada 2023, tetapi pelaburan keseluruhannya tertinggi kerana membabitkan peningkatan mendadak pelaburan domestik.
“Sebab itu, kita tidak bimbang terutama melihat kepada angka suku pertama 2024 yang mana pelaburan asing meningkat.
“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) umum angka untuk 2024 jauh lebih tinggi daripada diunjurkan sebelumnya dan diberikan secara terperinci nama syarikat serta jumlah pelaburannya,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) pada sesi pertanyaan menteri.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia menjadi hab semi konduktor di rantau ini, maka semua perhatian diberikan untuk melonjakkan pelaburan dalam negara.
Ujar beliau, dua cabaran dalam memenuhi keperluan pelaburan adalah persediaan infrastruktur termasuk tenaga hijau dan air serta menyedia bakat dan kepakaran tempatan.
Jelas beliau, Malaysia sudah mendapat status destinasi pelaburan yang menarik, namun keperluan tersebut belum mencukupi.
Sehubungan itu, katanya, negara memerlukan latihan yang lebih intensif di peringkat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya dapat memenuhi keperluan semasa. – KOSMO! ONLINE