fbpx

Dewan Rakyat: Kerajaan umum indikator baharu kos sara hidup November 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Indikator baharu bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat hingga ke peringkat daerah dalam peringkat akhir penyediaan untuk dimuktamadkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, indikator yang akan memberi gambaran secara kolektif mengenai jumlah perbelanjaan diperlukan isi rumah itu akan diumumkan awal November ini.

“Ia merangkumi keperluan bagi kehidupan wajar yang lebih menyeluruh makanan dan minuman, pakaian, perumahan, kesihatan, pengangkutan, pendidikan, komunikasi dan keperluan lain.

“Pengiraan indikator ini membabitkan 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan, 162 daerah pentadbiran serta mengikut lokasi bandar dan luar bandar.

“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur digunakan sebagai asas perbandingan relatif,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berhubung indikator baharu bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat.

Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) sebelum ini bersetuju Jabatan Perangkaan Malaysia(DOSM) membangunkan indikator baharu bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat hingga ke peringkat daerah.

Dalam pada itu, Anwar menerangkan, Indeks Harga Pengguna (IHP) hanya mengukur perubahan harga serta tertakluk kepada penawaran dan permintaan bagi barangan dan perkhidmatan.

Justeru, kata beliau, kerajaan memutuskan supaya indikator baharu kos sara hidup berdasarkan nilai keperluan perbelanjaan bulanan isi rumah diterbitkan bagi melengkapi indikator sedia ada.

Tambah beliau, ia juga membolehkan pengukuran berdasarkan sumber pendapatan yang diterima sama ada daripada gaji tetap, bekerja sendiri, pulangan daripada aset dan pelaburan serta pindahan semasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI