fbpx

Boeing bergegar, 30 cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penerbangan UX045 mengalami pergolakan udara yang teruk. – X

NATAL, BRAZIL – Sekurang-kurangnya 30 penumpang cedera selepas sebuah penerbangan Air Europa dari Sepanyol menuju  ke Uruguay dilanda pergolakan udara yang teruk, lapor akhbar Metro UK.

Pesawat Boeing 787-9 Dreamliner tersebut terpaksa mendarat cemas di lapangan terbang Natal, timur laut Brazil pukul 2.30 pagi (waktu tempatan) semalam. 

Rakaman video dikongsikan di internet menunjukkan penumpang pesawat yang berlepas dari Madrid itu panik dan menjerit.

Seorang lelaki dilihat memanjat bahagian peti simpanan di atas tempat duduk, dengan kakinya tergantung keluar.

Beberapa gambar yang dimuat naik di laman sosial menunjukkan banyak tempat duduk tercabut, manakala peti penyimpanan terkeluar dan rosak teruk.

Berpuluh-puluh penumpang dibawa ke hospital berikutan insiden yang dialami penerbangan menuju ke Montevideo tersebut.

Sebilangan penumpang mengalami patah tulang pangkal serviks dan kepala terhantuk semasa pergolakan udara, lapor laman Berita G1.

Sekurang-kurangnya dua penumpang dilaporkan masih berada di hospital setakat petang semalam (waktu tempatan).

Penerbangan UX045 meminta untuk mendarat cemas pada pukul 2.32 pagi (waktu tempatan) di lapangan terbang Natal, yang terletak lebih 4,000 kilometer dari Montevideo, demikian menurut pengendalinya, Lapangan Terbang Zurich Brazil.

“Pesawat tersebut mendarat seperti biasa dan kecederaan ringan yang dilaporkan telah pun dirawat.

“Petang ini (semalam), sebuah pesawat akan berlepas dari Madrid untuk mengambil penumpang dan meneruskan perjalanan ke Uruguay,” kata syarikat penerbangan Air Europa di platform X. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI