fbpx

Bentong optimis kurangkan 45 peratus pelepasan gas rumah kaca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSE Samsul (depan, kanan) bersama Amizar (depan, dua dari kanan) menanam pokok yang boleh membantu menyerap karbon pada Majlis Mini Karnival Alam Sekitar Sayangi Bumi di Taman Sultan Abu Bakar di Bentong hari ini.

BENTONG – Majlis Perbandaran Bentong menyasarkan pengurangan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dalam usaha mempercepatkan transformasi bandar-bandar di Malaysia ke arah bandar rendah karbon selaras dengan cabaran bandar rendah karbon 2030 (LCC2030C).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong, Datuk Rose Samsul Abdul Razak berkata, pihaknya optimis mencapai sasaran berkenaan dengan pelbagai usaha yang giat dilakukan serta penglibatan rakan-rakan strategik.

“Pada 2023 MPB telah berjaya memperolehi empat ‘Diamond Recognition’ kerana berjaya mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 25.49 peratus sejak 2017 dan MPB juga terus memperluaskan zon rendah karbon kepada sebahagian kawasan bandar Bentong.

“Insya Allah (capai sasaran menjelang 2030) sebab kita ada masa lagi dan dengan adanya rakan-rakan kongsi kita yakin boleh capai,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Mini Karnival Alam Sekitar Sayangi Bumi di sini hari ini.

Menurutnya menyahut cabaran LCC2030 oleh kerajaan, pihaknya akan melaksanakan pelbagai usaha bagi mengurangkan pelepasan karbon daripada penggunaan tenaga dan air daripada bangunan dan kawasan awam di kawasan dikenalpasti.

“Usaha lain ialah melalui pengurangan emisi daripada penggunaan kenderaan petrol dan diesel dan mengurangkan pelepasan daripada pembentukan sisa yang terkumpul daripada tapak pembuangan sampah.

“Setakat ini terdapat empat rakan kongsi dalam menjayakan cabaran ini termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Bentong, Pejabat Pendidikan Daerah Bentong, Hospital Daerah Bentong, Perpustakaan Awam Bentong, Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Pengurusan Air Bentong, Pejabat Kesihatan Daerah Bentong, Sekolah Kebangsaan (SK) Tuanku Fatimah dan SK Sulaiman,” katanya.

Dalam pada itu mengulas usaha dilakukan bagi mengurangkan pelepasan gas rumah kaca beliau berkata, antaranya adalah dengan pemasangan panel solar bagi mengurangkan penggunaan elektrik di MPB dan juga rakan-rakan strategik.

Selain itu katanya, pihaknya juga sedang giat berusaha menanam pokok yang boleh menyerap lebih banyak karbon di kawasan-kawasan dikenalpasti di daerah ini.

“Ketiga untuk pembersihan alam sekitar terutamanya sungai, usaha kita sekarang memastikan sungai-sungai dalam bandar sentiasa berada dalam keadaan baik dan rentetan daripada itu juga mulai tahun ini kita akan ada beberapa sesi libat urus dengan penduduk di kiri dan kanan sungai ini.

“Kita mahu mereka menjaga kebersihan, jadi kita mahu memastikan bahawa penduduk di persisiran sungai ini dapat membantu kita untuk mengawal discaj daripada dibuang ke dalam sungai,” ujarnya.

Sementara itu Amizar berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong agenda nasional dan global untuk mencapai matlamat pembangunan mampan dan memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara.

“Saya mengharapkan warga Bentong dapat bersama-sama memelihara alam sekitar Bentong, kita ada sungai, kita ada hutan, kita ada geografi yang cukup menarik yang perlu kita jaga bersama-sama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI