fbpx

‘Minta maaf Akib tak dapat gembirakan mama, abah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Naqib (gambar kecil) maut dalam kemalangan di Jalan Padang Matsirat, Langkawi malam tadi.

LANGKAWI – “Minta maaf mama abah, Akib tak dapat gembirakan mama abah macam anak orang lain. Akib akan kerja keras tanpa susahkan mama abah.”

Demikian catatan Muhammad Naqib Rashidi, 18, menerusi status WhatsApp sebelum dia maut dalam kemalangan di Jalan Padang Matsirat, di sini pada pukul 11.30 malam tadi.

Muhammad Naqib meninggal dunia selepas motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang dia tunggang terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum tercampak atas jalan.

Kejadian itu turut mengakibatkan tiga penunggang motosikal lain yang datang dari arah sama terjatuh akibat terlanggar motosikal mangsa yang berada di tengah jalan.

Ketika kejadian, arwah Muhammad Naqib dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas makan malam bersama rakan-rakannya.

Bapa arwah, Rashidi Shukri, 50, yang merupakan pendakwah bebas tidak dapat menahan rasa sebak ketika menunjukkan status WhatsApp terakhir arwah anaknya.

“Arwah ada kata (beritahu) dia tidak mahu mengharapkan duit mama dan abah selain sebut tidak sanggup hendak sambung pengajian sebab tak nak susahkan kami,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, anak kedua daripada lima beradik itu turut berkongsi impian membawanya dan isteri untuk menunaikan umrah hasil titik peluhnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, siasatan awal mendapati mangsa gagal mengawal motosikal sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

“Mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala tiga mangsa lain berusia 18 dan 19 tahun turut cedera selepas terlanggar motosikal mangsa,” ujarnya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI